Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel tesebut yang pertama kali diadakan turut mendapat sokongan daripada warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam dan Balai Polis Tanjung Kling.

Pengurus resort itu, Dennis Samford berkata, program pengagihan bubur lambuk itu disempurnakan Ahli Parlimen Tangga Batu, Prof. Madya Rusnah Aluai dan turut dihadiri Pengetua SMK Kampung Gelam, Sri Dewi Saiful Nathan dan Pemangku Ketua Balai Polis Tanjung Kling, Sarjan Musli Kahmal.

“Pihak resort memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk menjayakan program ini. Bagi kami sebenarnya bukan nilai peruntukan yang diambil kira sebaliknya semangat penyatuan dan hubungan akrab yang dibentuk menerusi program ini.

“Bermula pukul 10 pagi, semua pihak termasuk wakil sekolah dan balai polis bergotong-royong memasak bubur lambuk dan mula mengagihkannya pada pukul 2 petang,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Menurutnya, program itu tidak sekadar mengagihkan bubur lambuk kepada umat Islam malah mereka yang bukan Islam turut menerima sumbangan tersebut dan jelas sekali ia merupakan program yang memupuk semangat perpaduan antara pelbagai kaum dan agama. - UTUSAN ONLINE