Lantaran itu, Habib Jewels saban waktu mempersem­bahkan koleksi terbaharu untuk memenuhi selera peminat barang kemas yang sentiasa menginginkan gaya terkini. Bagi musim terbaharu, Habib Jewels memfokuskan kepada rekaan yang tampak moden dan kontemporari. Motif baharu dipadankan dengan unsur-unsur yang tidak ketinggalan zaman.

Menurut Pengurus Besar, Komunikasi Korporat Kumpulan Habib, Yasheedah Yashaiya emas bukan sahaja dijadikan perhiasan malah satu pelaburan yang baik.

“Membeli emas hari ini sangat menguntungkan kerana ia bukan sekadar barang perhiasan yang boleh digunakan untuk bergaya tetapi juga aset penting memandangkan harganya semakin meningkat dari sehari ke sehari.

“Nilai emas yang sentiasa meningkat dengan konsisten mengikut harga pasaran emas dunia menjadikannya komoditi terbaik untuk pelaburan. Sambil berhias dengan barangan kemas berkualiti pada masa sama wanita juga sebenarnya telah membuat satu pelaburan jangka panjang,” katanya.