Pertunjukan fesyen itu menampilkan rekaan siap dipakai (ready-to-wear, RTW) dan couture daripada pereka tempatan seperti Shanell Harun, Raya oleh Calvin Thoo, Koleksi De Bunga Raya (Ridzuan Bohari), Chic Cool Chica (Tom Signature) untuk pakaian wanita manakala Goodman dan Datuk Shah Reza untuk gaya lelaki. Lain-lain jenama adalah pereka Kids by ASLI untuk kanak-kanak, Najla Shoes Aksesori oleh Suzanna dan Bunga-Bungaan daripada Bunga Lab.

Pertunjukan fesyen Souk Raya ini turut menerima kunjungan Yang Mulia Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Fazarinawati Mohd Din. Lebih 300 tetamu undangan diberi kesempatan untuk melihat lebih dekat setiap satu rekaan unggul yang dipamerkan pereka pada pertunjukan fesyen Souk Raya ini. Pereka fesyen tempatan dan selebriti seperti Datuk Tom Abang Saufi dan Iman Zulkarnain turut hadir memeriahkan acara.

Souk Raya adalah pasar trend dan fesyen urban unik yang diadakan sepanjang Ramadan. Pusat beli-belah GMBB pula dipilih sebagai lokasi khusus bagi menyediakan pengunjung dan pembeli untuk merasai pengalaman membeli-belah yang berbeza.

“Ini adalah tahun pertama GMBB menganjurkan acara seperti ini bagi membangkitkan cita rasa artis serta pengalaman peruncitan bebas yang mana daya kreativiti menjadi perhatian utama. Daripada couture sehingga rekaan RTW, kesemuanya dijual pada harga berpatutan. Pembeli juga boleh memilih pelbagai variasi pilihan lain seperti pakaian, kasut, tudung dan aksesori,” menurut satu kenyataan oleh GMBB.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan AX Event and Communications, Abdul Azeez Salleh berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan yang berbakat dalam memperkenalkan koleksi raya pada tahun ini. Mereka melakar inspirasi menerusi elemen dan komponen dalam setiap satu rekaan.

“Setiap koleksi mempamerkan gabungan tekstur, warna dan corak unik yang mewakili maksud tersirat. Souk Raya bukan sekadar platform untuk pereka fesyen tempatan mempamerkan kreativiti fesyen masing-masing, malah turut berkongsi pandangan mengenai reka cipta pereka fesyen kepada orang ramai.

“Selain itu, ia memberi peluang kepada mereka untuk menubuhkan jenama sendiri dalam industri perniagaan. Ini kali pertama Souk Raya diadakan di GMBB. Kami yakin konsep GMBB bersesuaian dengan Souk Raya dan kami harap dapat menjalinkan usaha ini pada setiap tahun yang mana trend fesyen menjadi satu,”katanya.

Souk Raya 2019 dipamerkan di tingkat 1 dan 2 GMBB setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam berakhir hari ini. Untuk maklumat lanjut tentang Souk Raya dan senarai aktiviti terkini di GMBB, sila ikuti Facebook (https://www.facebook.com/gmbbkl/) atau Instagram (https://www.instagram.com/gmbb.kl/).