Bagi golongan wanita, fesyen klasik memang tidak akan dilupakan. Namun, ada ketikanya mereka juga ingin menyarung busana moden yang selari dengan perkembangan fesyen terkini.

Biarpun bergaya moden, pemilihan tetap kepada busana anggun dan sopan yang bukan sahaja sesuai digayakan pada hari raya, tetapi tampil cantik dipakai ketika menghadiri majlis rasmi, kenduri mahupun ke pejabat.

Bertepatan dengan itu, jenama baharu dalam fesyen Muslimah tempatan, Alya Suraya Hijab mengetengahkan koleksi baju kurung moden yang menitikberatkan ciri-ciri patuh syariah selain menyerlahkan kesantunan wanita Melayu.

Gaya peplum

Pengasas Alya Suraya Hijab, Shazreen Mohd. Hatta berkata, koleksi raya Alya Suraya hadir dengan tujuh rekaan berpotongan moden termasuk gaya peplum yang masih mempunyai peminat tersendiri.

Menurutnya, bagi memenuhi cita rasa semua golongan dari remaja hingga dewasa, koleksi raya ini mengetengahkan rekaan potongan ringkas yang diinspirasikan daripada baju kurung Riau Pahang selain gaya moden yang dihiasi perincian seperti ropol di bahagian hujung lengan dan teknik draping.

“Koleksi raya ini diperkenalkan setelah melihat kejayaan ciptaan pertama Alya Suraya Hijab iaitu himpunan jubah, seluar dan kimar untuk mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji.

“Cuma, kini kami perkenalkan koleksi baju kurung moden dengan konsep yang sama iaitu menutup aurat, patuh syariah dan dijual pada harga berpatutan serta berkualiti.

“Buat koleksi raya, kami memilih fabrik satin, sifon dan crepe Korea yang cantik dan memberi keselesaan kepada pemakai,” katanya.

Menurut Shazreen, mereka yang menggayakan koleksi Alya Suraya juga tidak perlu pening kepala mencari baju inner bagi menutup aurat sekiranya pakaian tersebut jarang. Ini kerana mana-mana rekaan Alya Suraya yang didapati jarang akan dilapisi dengan fabrik lain.

Koleksi raya Alya Suraya hadir dalam 11 warna dari pastel hingga warna yang lebih terang antaranya biru, biru firus, kuning, ungu, merah jambu, merah pulasan dan kuning cair. Himpunan koleksi ini disediakan dalam saiz XS hingga XL.

Jika tidak sempat ‘melaram rekaan Alya Suraya pada hari raya, masih boleh mengga–yakannya ketika menghadiri rumah terbuka yang akan diadakan sepan–jang Syawal ini. Kesemua rekaan ini dijual secara dalam talian.