Di Malaysia, songkok popular dalam kalangan pengantin baharu untuk upacara akad nikah, solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha dan acara keagamaan yang lain. Selain itu, kanak-kanak lelaki memakai songkok untuk ke sekolah agama dan berkhatan.

Disebabkan permintaan songkok sepanjang tahun, maka bekalan perlu sentiasa ada dalam pasaran. Untuk membeli songkok mungkin agak ‘bermasalah’ bagi sesetengah orang kerana saiz songkok dan kepala mestilah tepat agar songkok yang dipakai tidak terlalu longgar atau ketat.

Justeru, segelintir daripada kita lebih gemar menempah songkok di kedai-kedai yang menawarkan perkhidmatan itu. Antara pihak yang menerima tempahan songkok ialah Pustaka Al Jilani yang membuat, membekal dan menjual songkok kepada pemborong serta pelanggan individu.

Pemiliknya, Hamzah Irzal, 50, berkata, dia memulakan perniagaan membuat songkok dan kopiah di Nombor B41, Tingkat 1, Bangunan UTC, Ipoh pada 2008.

Selain menjual songkok yang dijahit sendiri di kedainya, dia turut melantik agen jualan di seluruh negara. Katanya, jumlah agen bertambah menjelang musim perayaan. Biasanya, pada musim tersebut seperti sambutan Aidilfitri, pihaknya menerima permintaan luar biasa daripada pelanggan.

“Saya turut menjual songkok melalui tempahan atas talian dan jualan secara borong kepada pelanggan tertentu.

“UTC merupakan tempat tumpuan orang ramai kerana terdapat banyak agensi kerajaan di situ selain sebuah pasar menjual ikan serta sayur-sayuran.

“Sehubungan itu, UTC menjadi lokasi pilihan peniaga di bandar raya Ipoh,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dia mempelajari selok-belok membuat songkok daripada seorang lelaki di Pulau Pinang kerana tertarik dengan produk pakaian tradisi Melayu yang diketengahkannya.

Dengan mempunyai seorang pembantu, Hamzah memulakan perniagaan dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang.

Dia menjual pelbagai jenis songkok baldu mengikut permintaan pelanggan pada harga berpatutan .

“Pelanggan boleh datang sendiri ke kedai saya atau memesannya melalui talian,” katanya.

Hamzah berkata, kedainya boleh menyiapkan satu songkok dalam masa setengah jam.

“Jadi, sekiranya pelanggan datang dari jauh, mereka boleh menunggu sementara songkok siap dijahit. Songkok itu pula dijual pada harga antara RM15 hingga RM150,” ujarnya.

Hamzah berkata, harga songkok ditentukan mengikut tinggi dan jenis kain baldu yang digunakan.

Mengulas lanjut katanya, jualan pada hari biasa agak kurang kecuali pada musim majlis perkahwinan dan menjelang sesi pembukaan sekolah baharu.

“Apabila sesi sekolah baharu dibuka, kedai saya menjadi tumpuan ibu bapa yang mahu membelikan songkok untuk anak-anak mereka yang belajar di sekolah agama.

“Pada musim hari raya Aidilfitri, jualan songkok mendapat sambutan luar biasa,” katanya.

Menurutnya, dia mendapatkan bekalan kain baldu dari kedai kain sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Saya mahu meluaskan perniagaan ini, tetapi buat masa sekarang saya tangguh dahulu kerana kekangan modal pusingan dan kekurangan tenaga kerja mahir.

“Saya juga merancang melatih anak muda Melayu supaya terbabit dalam industri ini kerana terbukti ia boleh menjamin masa depan,” katanya dengan penuh bersemangat.