Berinspirasikan rekaan Issey Miyake yang bermain dengan teknik lisu, Wajie cuba bereksperimen dengan teknik tersebut tetapi memilih lisu berstruktur yang nyata menimbulkan impak unik terhadap koleksi En Fleur ciptaannya.

Koleksi En Fleur by Wajie Ibrahim merupakan himpunan gaun, dres dan busana pengantin terbaharu yang direka khusus untuk dirinya ‘berkarya’ dalam dunia fesyen.

Pemilihan teknik lisu berstruktur itu membuatkan koleksi En Fleur mempunyai karakter tersendiri, lebih-lebih lagi Wajie memilih fabrik organdi yang jarang digunakan untuk menghasilkan pakaian.

Teknik tersebut dilihat bersesuaian dengan material keras, tetapi penghasilannya akan tampak kaku sekiranya fabrik terlalu keras.

Oleh itu, organdi menjadi pilihan kerana ia keras namun mempunyai kelembutannya sendiri. Teksturnya juga lebih tebal dan kurang berkedut.

Fabrik organdi sebenarnya sering digunakan untuk membuat pakaian pada boneka dan bunga-bunga buatan. Selain itu, fabrik itu juga cantik dipilih sebagai aksesori sampingan menghiasi pakaian.

“Walaupun fabrik organdi agak keras, namun ia tetap mempunyai alunannya sendiri dan perincian lisu berstruktur jelas terletak cantik pada material tersebut,” kata Wajie.

Lebih unik, Wajie turut menggabungkan fabrik organdi dan renda yang kedua-duanya turut menampilkan teknik yang sama dalam beberapa rekaannya.

Selain organdi, koleksi En Fleur turut mengetengahkan garapan lisu pada fabrik sifon di samping menampilkan juga rekaan menggunakan fabrik renda dan net.

Koleksi yang hadir dalam warna hitam, putih gading dan merah samar itu turut diserikan dengan hiasan bunga-bungaan, dedaun hijau dan tatahan batu swarovski.