Tidak kira sama ada untuk hidangan makanan berlauk atau kuih-muih, pelbagai masakan boleh diasaskan menggunakan sagu atau juga dikenali sebagai lemantak seperti umai, kuih tebaloi dan kuih kapit.

Perkara ini dikongsi Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Kanan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cawangan Sarawak, Fatimah Abd. Wahab kepada penulis semasa mengikuti program Industri Kraf Tekstil di Sarawak baru-baru ini.

Beliau turut memberitahu penulis tentang sejenis makanan paling popular dalam kalangan suku kaum Melanau iaitu linut yang dibuat sepenuhnya daripada sagu dan air. Ia biasanya dimakan ketika musim perayaan atau semasa berkumpul beramai-ramai bersama sanak-saudara pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, mungkin ramai tidak menyangka bahawa makanan tradisional masyarakat Melanau dan Bisaya ini yang turut disukai suku kaum lain di Sarawak, Sabah mahupun Brunei bukan sahaja menyelerakan bahkan berpotensi besar dalam penghasilan batik.

“Jangan kata orang luar, kami sendiri masyarakat tempatan yang memakan linut pun tidak sangka ia boleh dijadikan bahan utama pembuatan batik. Sebelum ini masyarakat tempatan di Mukah tidak pernah membuat batik.

“Kami hanya membuat produk anyaman daripada pokok rumbia yang menghasilkan sagu. Jadi, apabila ditawarkan untuk menjayakan projek pembuatan batik, saya berasa sangat teruja,” kata Andrea James, 34, ketika ditemui di sebuah bengkel di Kampung Telian Tengah, Mukah.

Sementara itu Lyona Stephen, 29, menggunakan teknik cetakan bagi mendapatkan latar belakang warna kain mengikut motif di Kampung Telian Tengah, Mukah.

Kampung Telian Tengah, terletak kira-kira 143 kilometer dari Sibu dan mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan.

Program anjuran Kraftangan Malaysia yang berlangsung pada 1 hingga 3 April lalu memberi peluang kepada wakil media melihat sendiri bagaimana masakan tradisional linut ditransformasikan menjadi bahan utama pembuatan batik linut.

BATIK LINUT

Batik linut adalah produk baharu hasil cetusan idea dan inovasi Kraftangan Malaysia yang diperkenalkan pada awal 2019 untuk menyuntik keunikan dan kelainan bagi memartabatkan lagi eksklusif batik tempatan.

Teknik cetakan batik linut dilakukan mengikut motif yang dihasilkan di Kampung Telian Tengah, Mukah, Sarawak. Batik linut adalah produk baharu hasil cetusan idea dan inovasi Kraftangan Malaysia yang diperkenalkan pada awal tahun ini dalam menyuntik keunikan dan kelainan bagi memartabatkan eksklusif batik tempatan dengan memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi sekali gus menjadi identiti baharu bagi komuniti setempat yang dikomersialkan.

Bagi menjayakan projek ini, Kampung Telian Tengah, Mukah dipilih untuk mempelopori penghasilan batik linut. Seramai 30 orang terdiri daripada belia dan suri rumah termasuk Andrea adalah antara individu terawal dipilih untuk mempelajari cara pembuatan batik linut serta mengusahakannya secara bersama.

“Keunikan batik linut terletak pada linut yang dilihat sebagai bahan sesuai menggantikan lilin di mana ia boleh bertindak sebagai penghalang air serta bahan pewarna daripada menembusi bahagian kain kerana sifatnya yang likat.

“Istimewanya, ia bukan sahaja boleh menggantikan fungsi lilin tetapi juga dapat menghasilkan corak dan warna yang lebih menarik apabila kain yang digunakan direndam bersama linut,” kata Andrea yang menghadiri Makmal Teknikal Pembuatan Batik Linut kelolaan Kraftangan Malaysia di Dewan Balai Raya Kampung Telian Tengah awal tahun ini.

Menurutnya, pembuatan batik linut hampir sama dengan proses penghasilan batik di tempat lain yang menggunakan teknik cetakan sutera saring, cuma linut digunakan bagi mendapatkan latar belakang warna kain serta semasa mewarnakan motif.

“Dalam pemprosesan ini, paling penting adalah pembuatan linut. Ini kerana, kalau linut tersalah pembuatannya sama ada agak cair atau terlebih likat, ia boleh menjejaskan proses mewarnakan latar belakang kain dan cetakan motif,” kata Andrea yang turut diberi tanggungjawab mengurus operasi pembuatan batik linut.

TUJUAN KOMERSIAL

Menurut ibu kepada dua orang anak dari etnik Melanau ini, proses pembuatan sehelai batik linut berukuran panjang 2.5 meter dan empat meter mengambil masa antara satu hingga tiga hari, bergantung kepada cuaca.

“Tidak ada masalah hendak dapatkan sagu. Di sini, pergilah ke mana-mana sahaja sekitar kampung atau kawasan Mukah, ada sahaja sagu dijual.

“Harganya pun murah berbanding sagu yang dijual di Kuching. Kami selalunya akan beli sagu seminggu sekali dalam bentuk ketulan, bukannya tepung,” katanya.

Kemudahan mendapatkan bahan utama tersebut iaitu sagu di Mukah menjadi antara sebab utama mengapa Kraftangan Malaysia memilih kampung berkenaan menjadi pelopor kepada Projek Pembangunan Produk Batik Linut.

Ia berdasarkan pengeluaran sagu terbesar terletak di bahagian Mukah di mana kawasan seluas 40,642 hektar ditanam dengan pokok rumbia daripada jumlah keseluruhan 46,768 hektar di seluruh Sarawak.

Berkaitan corak yang digunakan, penyelaras projek batik linut, Diana Rose, 57, berkata, motif masyarakat Melanau daripada baju tradisional seperti kunci (butang), baju bangkuas, buah mulung, terendak dan ulat sagu menjadi pilihan untuk ditonjolkan pada Batik Linut.

Bagi tujuan ini juga, komuniti batik linut Kampung Telian turut bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan, Abdul Latif Mohti, 57, dan beberapa pereka muda seperti Lyona Stephen untuk rekaan motif kain pasang dan pakaian siap batik linut lelaki mahupun perempuan.

“Kami rasa bertuah kerana kampung ini dipilih sebagai pelopor membangunkan batik linut. Inovasi ini bukan sahaja memberi pendedahan dan peluang menjana ekonomi penduduk kampung, bahkan ia menarik minat belia untuk memartabatkan warisan tempatan,” katanya.

Batik linut dipromosi dan dipasarkan buat pertama kali dalam Festival Kraf Tekstil Borneo (FKTB) 2019 yang berlangsung pada 12 hingga 21 April lalu.

FESTIVAL KRAF TEKSTIL BORNEO 2019

Bertemakan ‘Jalinan Inspirasi Kehidupan Borneo’, FKTB yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu, Sabah bertujuan memberi peluang khusus kepada usahawan kraf tekstil dari Sabah dan Sarawak untuk mempromosikan produk mereka di samping memperkenalkan produk baharu, batik linut.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia cawangan Sarawak, Azran Arip, kraftangan dari kepulauan Borneo mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri yang dapat menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara sekali gus menjana pendapatan bukan sahaja pada usahawan bahkan kerajaan negeri.

“Seramai 90 usahawan terlibat menjayakan festival kali ini. Saya harap inisiatif Kraftangan Malaysia dapat membantu usahawan memperluaskan jaringan pemasaran di mana festival ini adalah platform buat mereka mendapatkan pasaran baharu.

“Kraftangan Malaysia menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM500,000 sepanjang 10 hari festival ini diadakan,” katanya.

Selain batik linut, antara kraf tekstil Sarawak yang diketengahkan adalah tenunan songket Sarawak, tenunan pua dan sulaman keringkam. Produk kraf dari Sabah pula adalah tenunan dastar, tapak sila, sulaman pis, ampit dan batik Sabah. – BERNAMA