Berakhirnya Syawal tidak bermakna kita tidak boleh terus bergaya dengan pakaian cantik.

Baju yang dibeli atau ditempah khas sempena hari raya lalu boleh sahaja digayakan untuk ke tempat kerja atau majlis-majlis lain.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, rata-rata pengguna lebih gemar memilih busana pada harga berpatutan dan sesuai digayakan dalam pelbagai acara seperti ke pejabat, majlis kahwin, kenduri dan sebagainya.

BERGAYA dengan pakaian sedondon bagi pasangan muda. 

Melihat aspek itu, Sohhor Boutique yang terletak di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Selangor menawarkan variasi rekaan untuk lelaki dan wanita yang gemar bergaya sepanjang tahun dan bukannya pada musim perayaan tertentu sahaja.

Menurut pemilik butik, Che Jamilah Che Muhammad, antara koleksi busana yang terdapat di butiknya ialah baju kurung Riau, kurung songket, prada lace, kurung Mok Cun, baju Melayu, kurta, jubah dan kemeja batik.

“Kami amat menitikberatkan soal keselesaan kepada pemakai. Jadi, koleksi di butik ini dihasilkan menggunakan kain kapas Jerman dan Santana.

“Kelebihan kain ini adalah sejuk dan tidak mudah kedut dan amat sesuai dipakai pada cuaca panas seperti di Malaysia,” katanya kepada Mega Rona.

Tambahnya, terdapat 10 warna menarik daripada lima rekaan moden dan minimalis yang sesuai digayakan oleh mereka yang berusia antara 21 hingga 55 tahun.

“Orang ramai boleh mendapatkan koleksi baju dari Sohhor Boutique pada harga serendah RM70 hingga RM250 di butik atau melalui laman Instagram @sohhor_boutique,” ujarnya.

Mengulas lanjut Che Jamilah berkata, rekaan busana yang mengikut peredaran zaman serta mesra pengguna itu didapati dari saiz kecil sehingga yang paling besar iaitu XXXL.

Selain itu, butik tersebut turut menerima tempahan bagi yang berminat menempah pakaian mengikut cita rasa mereka.

“Harapan saya adalah untuk melihat butik ini lebih dikenali oleh orang ramai serta menjadi pilihan utama pada setiap kali menjelang musim perayaan,” katanya.