Layah yang cantik dapat menyerlahkan kepelbagaian rona dalam warna dan corak menarik sekali gus mampu menghidupkan kreativiti dalam gambar.

Oleh itu, tidak salah jika ratu sehari memperincikan hiasan busana dengan membuat pemilihan layah yang betul.

Pemilik The Peals Veil, Intan Hamiza Mohd. berkata, aksesori layah memainkan peranan penting dalam menyerlahkan seri pengantin perempuan.

“Untuk zaman sekarang, pemakaian layah adalah satu kemestian. Apabila pengantin memakai layah, ia menjadi aksesori tambahan yang cantik untuk tatapan tetamu.

“Pengantin zaman dahulu pun, sudah ada yang pakai layah. Cuma, ketika itu pilihan yang ada hanya layah kosong. Berbanding dengan sekarang, lebih banyak jenis layah boleh digayakan mengikut tema pengantin,” katanya.

Memandangkan layah yang dijualnya merupakan custom-made, tidak hairanlah jenis layah yang pernah direkanya mencecah sehingga 200 jenis. Ada antaranya terdiri daripada chapel, horsehair dan chatedral.

“Tempahan biasanya diambil sebulan sebelum majlis. Jika berlaku kecemasan, saya masih boleh menerimanya kira-kira dua minggu sebelum majlis supaya tidak menjejaskan perancangan,” ujarnya.

Katanya, dalam seminggu dia boleh menyiapkan sebanyak 20 helai layah.

“Jika layah pendek seperti chapel atau horsehair, saya boleh menyiapkan tiga helai dalam sehari,”

“Tetapi, jika jenis chatedral (panjang), saya memerlukan masa tiga hari untuk menyiapkannya,” katanya.

Bukan itu sahaja, jika dilihat perincian pada layah yang bertatahkan mutiara, katanya, sebanyak 750 biji mutiara diperlukan untuk dijahit pada layah tersebut.

Selain itu katanya, layah bercorak kuntuman bunga juga memakan masa tiga hingga empat hari untuk disiapkan.

“Agak rumit untuk membuat layah seperti ini. Saya terpaksa mengait sebutir-sebutir mutiara ke atas kuntuman bunga, kemudian baru saya menjahitnya di atas kain layah. Sehelai layah yang saya hasilkan boleh memuatkan kira-kira 90 kuntum bunga agar dapat menghasilkan kesan 3D,” tambahnya.

Menurutnya, kebanyakan material layah dihasilkan daripada kain net dan sifon. Kain sifon biasanya ditempah oleh pengantin muslimah supaya layah yang dipakai tidak jarang.

Sementara itu katanya, jumlah pengikut Instagram custom-made @thepearlsveil kini mencecah 4,271 orang.