Menurut Mohamad Nazri, setiap etnik di Sabah memiliki motif tradisi yang sangat unik dan tersendiri. Ia dapat dilihat melalui corak baju tradisional yang digayakan terutama pada musim Pesta Kaamatan dan majlis keramaian yang diraikan oleh 35 etnik dan 214 subetnik di negeri berkenaan.

Menyedari tarikan itu katanya, timbul cetusan idea untuk syarikatnya, Trusted Sharks memperkenalkan corak etnik Sabah untuk dikomersialkan melalui jualan baju bercorak etnik. Setakat ini katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mendapat permintaan tinggi.

"Baju ini diperbuat daripada kain dan material yang berbeza. Keselesaan dan ketelitian dalam penghasilannya amat dititikberatkan. Saya juga sentiasa mengutamakan pilihan pelanggan dan mereka boleh memilih corak etnik yang mereka inginkan.

“Sehingga kini syarikat saya menyediakan 15 baju corak etnik yang berbeza sekali gus dapat memberi pilihan kepada pelanggan. Sehingga Mac lalu juga sebanyak 10,000 helai baju corak etnik telah terjual," katanya kepada Mega Rona di Putrajaya baru-baru ini.

Mohamad Nazri berkata, pada tahun ini dia menyasarkan menjual kira-kira 25,000 helai baju corak etnik Sabah. Selain itu syarikatnya juga ada menjual barangan lain seperti pakaian sukan, peralatan sukan dan menerima tempahan jersi pasukan.

“Permintaan baju corak etnik boleh dikatakan menjadi trend terkini dan sentiasa mendapat sambutan menjelang Pesta Kaamatan. Namun, tidak kurang juga ada yang membuat tempahan untuk dijadikan jersi pasukan.

“Alhamdulillah, maklum balas pelanggan yang membeli baju ini amat baik. Ini kerana baju itu boleh digayakan ke mana-mana sahaja. Bagi saya kepuasan pelanggan adalah keutamaan,” katanya yang kini menguruskan dua cawangan Trusted Sharks di Kota Kinabalu, Sabah dan Muazam Shah di Pahang.

Selain itu katanya, Trusted Sharks adalah jenama tempatan yang semakin mendapat tempat di Malaysia terutama dalam bidang sukan selain mempunyai kepakaran dalam mereka bentuk baju atau jersi mengikut kehendak pelanggan.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sehingga kini syarikatnya mempunyai 60 ejen rasmi yang mampu menjana pendapatan tanpa mengeluarkan modal.

“Mereka boleh menjana pendapatan lumayan selain menikmati bonus bulanan dan tahunan sekiranya mencapai sasaran jualan.

Usaha ini dapat membantu golongan belia menambah pendapatan masing-masing berdasarkan usaha dan kreativiti mereka,” katanya.

INFO

Facebook Page : Trusted Sharks Hq

instagram: trustedsharks

Hotline : 
017 6655 785