Namun untuk golongan hawa usah gusar malah mereka tidak perlu berbelanja lebih jika bijak suai padan busana seperti kurung, kebaya, kebarung atau kaftan bersama pario, skirt serta seluar yang tersedia ada.

Bukan sahaja menjimatkan poket tapi hasilnya juga memberi impak `wow’ dan menyerlah.

Koleksi Lebaran pereka, Anna Sue daripada Persatuan Pereka Asian (ADG ) kali ini lebih memfokuskan kepada gaya simple dan minimalis dengan helaian busana yang mudah dan selesa digayakan. Tampak lebih eksklusif dan unik apabila disuaipadankan dengan pakaian lain.

“Rekaan saya untuk Syawal ini boleh dibuat gaya suai padan. Kaftan boleh dipadankan dengan pario sutera lukisan tangan. Pario juga boleh dipadankan dengan busana lain untuk gaya yang lebih kasual. Kaftan juga boleh digayakan dengan seluar jeans bagi kelihatan lebih santai.’’ ujarnya.

“Dalam rekaan ini, saya masih mengekalkan rekaan bersama aksesori dempak. Inilah unik dan keberanian dalam rekaan yang saya inspirasikan. Sesuai bagi mereka yang ingin tampil kelainan, padanan aksesori juga dapat mengubah gaya busana yang ringkas untuk menjadi lebih menarik,” jelas pereka berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Rekaannya yang bertemakan aura klasik stailo dan praktikal ini bercirikan gabungan tradisional juga moden kontemporari dengan mainan rona berani untuk stail classy serta elegan.

Menurut Anna Sue, himpunan helaiannya agak ringkas namun tidak kosong atau terlalu sarat.

“Dalam berfesyen less is more. Meskipun simple aliran keselesaan, glamor dan mewah amat saya tekankan,” ujarnya.

Pemilihan warna terang dan flora turut menjadi pilihannya untuk koleksi musim perayaan ini di samping penggunaan fabrik kapas Itali yang menyejukkan sekali gus memberikan keselesaan serta sesuai dengan cuaca panas lembap di negara ini.

Fabrik seperti renda juga menjadi keutamaannya dalam rekaan baju kurung walaupun bahan itu bukan menjadi pilihan ramai. Baginya, material renda dapat menterjemahkan rekaan mengikut postur tubuh dan tampak eksklusif.

Penggunaan renda juga menjadi elemen perincian pada ikatan pinggang untuk tampil ramping pada tubuh si pemakai. Untuk mengetahui himpunan fesyen terkini atau mendapatkan info lanjut boleh lawati Instagram @annasuejewelry.