Hasil kerjasama kedua-dua jenama gergasi itu telah melahirkan kasut sniker RS-X edisi khas yang meraikan semula kegemilangan budaya muzik terdahulu.

Ini bukan kali pertama kedua-dua jenama ikonik tersebut bekerjasama. Pada 2006, PUMA dan MTV pernah melancarkan koleksi PUMA YO MTV Raps di mana kasut-kasut PUMA yang klasik diberi olahan semula dengan berinspirasikan muzik hip-hop 80-an.

“Kami sangat gembira dapat bekerjasama sekali lagi dengan sebuah jenama ikonik yang relevan dengan zaman dahulu dan kini,” kata Pengarah Global untuk Jenama & Pemasaran PUMA, Adam Petrick dalam satu kenyataan kepada Mega Rona.

Menurutnya, kedua-dua jenama MTV dan PUMA mempunyai reputasi unggul dan dikenali sebagai peneraju budaya serta legasi sezaman ke masa hadapan.

“Buat kolaborasi kali ini, kami telah mencipta kembali koleksi ikonik 80-an RS PUMA dalam gaya ekstrem yang merangkumi campuran muzik dan fesyen,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kerjasama Global dan Softlines, Viacom Nickelodeon Consumer Products MTV, Jose Castro berkata, MTV telah merevolusikan industri hiburan dan penggabungan industri fesyen serta budaya pop jelas menggariskan usaha mereka untuk mendekati golongan muda di seluruh dunia.

“MTV dan PUMA adalah dua jenama yang kekal sinonim dengan representasi budaya dan gaya jalanan untuk pelbagai generasi. Kerjasama ini berjaya menyatukan kedua-dua jenama ikonik ini pada masa kini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sniker RS-X PUMA diilhamkan oleh unsur-unsur muzik dan era digital sekali gus mencerminkan evolusi MTV sendiri.

Katanya, itu menjadikannya sebuah koleksi yang mesti ada buat peminat fesyen nostalgia.

Dalam pada itu, kolaborasi PUMA x MTV juga melancarkan olahan reka bentuk terbaharu sniker RS-X Tracks. Mengenengahkan warna pop neon yang menonjol, koleksi itu menampilkan dua jenis warna iaitu RS-X Tracks MTV Gradient Blaze dalam warna PUMA White - Sweet Lavender dan RS-X Tracks MTV Gradient Gloom dalam warna PUMA Black - Sweet Lavender.

Menyempurnakan rupa dengan pakaian musim yang sesuai, koleksi bergaya ini juga melancarkan kemeja T, tank top, baju trek dan seluar pendek yang dilingkari dengan logo grafik PUMA x MTV.