Membawa kelainan dengan menjulang tradisi Sarawak, Wan Noor Bainun Wan Zaizodin (Wan Bynun), 29, pernah merangkul beberapa anugerah berprestij seperti tempat kedua Anugerah Fesyen Sarawak 2016, top 10 Anugerah Fiesta Fesyen Sarawak 2017 dan mewakili negeri kelahirannya di Indonesia Modest Fashion Week 2018.

Walaupun tuan empunya badan tampak ringkas, menyukai aktiviti pelancongan, mudah bergaul

WAN NOOR BAINUN WAN ZAIZODIN
WAN NOOR BAINUN WAN ZAIZODIN 

dan mesra, namun dia bukan calang-calang orangnya. Wan Bynun memasang impian untuk menaikkan produk warisan Malaysia di mata dunia.

Dalam usaha itu, dia amat memerlukan sokongan dari pelbagai badan dan agensi kerajaan agar usaha itu berjaya direalisasi pada satu hari nanti.

“Sokongan daripada pihak kerajaan kepada anak-anak muda yang berhasrat membawa produk tempatan untuk tujuan promosi dapat diperluaskan melalui penyertaan dalam pertunjukan fesyen atau pameran di luar negara.

“Jika mengharapkan dana mereka sendiri, berkemungkinan tidak kesampaian kerana pereka muda biasanya kekurangan sumber kewangan untuk membiayai yuran penyertaan,” jelasnya.

Kejayaan Wan Bynun hari ini juga atas restu dan doa daripada suami dan ahli keluarga yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat serta sokongan agar impiannya tercapai.

“Antara pengalaman manis saya ialah ketika dijemput menyertai Indonesia Modest Fashion Week pada tahun lalu. Ketika itu, saya merupakan pereka pertama dari Sarawak yang dijemput untuk mempamerkan koleksi rekaan.

“Semasa berada di sana, ahli keluarga turut hadir untuk memberikan sokongan.

“Itu antara perkara yang membuatkan saya semakin bersemangat untuk lebih maju pada masa hadapan, sekali gus membanggakan kedua ibu bapa, di samping menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, minat terhadap dunia fesyen dikongsi bersama ibunya dan mereka acap kali berbicara mengenai dunia itu dan kadang kala mencari idea untuk setiap rekaan bersama,” katanya yang mewarisi minat ibunya terhadap fesyen.

“Bermula sejak kecil, saya terlibat dalam pertandingan pakaian beragam yang memerlukan saya catwalk. Ketika itu, saya memenangi tempat pertama. Dari situ, minat terhadap fesyen disemai.

“Pada asalnya, saya tidak mempunyai kepakaran dalam bidang fesyen kerana mengambil kursus grafik ketika mengikuti pengajian di peringkat diploma. Namun semasa di peringkat ijazah sarjana muda, saya mula mengenali selok-belok dunia fesyen.

“Pada mulanya agak sukar tetapi saya berjaya menghasilkan pakaian rekaan sendiri pada sementer pertama. Selepas itu, semangat semakin berkobar-kobar untuk mencabar diri dan membuktikan bahawa saya mampu berjaya,” katanya.

Kerjasama pereka antarabangsa

Angan-angan tanpa usaha sudah pasti akan terkubur begitu sahaja. Namun, tidak bagi Wan Bynun yang memiliki azam setinggi gunung apabila dia memasang impian untuk bekerjasama dengan pereka antarabangsa bagi mengembangkan lagi perniagaannya ke luar negara.

Sungguhpun begitu, impian tersebut harus selari dengan usaha, semangat dan tidak berputus asa walaupun dihujani cabaran.

Impian tersebut terus mekar apabila beberapa pelanggannya dari London memuji rekaannya dan memberi galakan agar hasil kerjanya dibawa ke kota London.

“Itulah impian saya supaya dapat melebarkan lagi perniagaan di luar negara agar orang luar mengenali dan menghargai seni tradisional Malaysia,”ujarnya.

Dia yang mengagumi Datuk Seri Bernard Chandran dan Datuk Tom Abang Saufi memberitahu kedua-dua pereka itu merupakan idolanya dalam dunia fesyen.

Ini kerana kedua-dua ikon itu berjaya meletakkan nama mereka setanding dengan nama-nama besar pereka luar negara.

“Saya meminati tentang bagaimana kedua-dua nama besar ini menerapkan elemen tradisional yang dimodenkan di dalam rekaan.

“Mereka merupakan contoh terbaik dan berharap satu hari nanti, saya akan berjaya seperti mereka,” katanya mengakhiri sesi temubual.