Mana tidaknya, gaya santai dan dalam masa sama turut kelihatan elegan kepada pemakai membuatkan pakaian itu sesuai untuk aktiviti sosial mahupun olahraga sekali gus memberikan keselesaan kepada si pemakai untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif.

Itu antara aliran fesyen yang dipegang oleh pereka fesyen dari Sweden, Caroline Wass, 38, bersama suaminya, Mark Westwood dengan memperkenalkan jenama Carro yang berkonsepkan versatil dalam menggalakkan gaya hidup sihat.

Gemar bereksperimentasi dengan garisan dan corak geometri, kesemua ilham Caroline memperlihatkan dia cenderung bermain dengan pelbagai warna daripada rona cerah sehinggalah warna gelap.

REKAAN Carro yang unik memberikan kelainan kepada pemakai.
REKAAN Carro yang unik memberikan kelainan kepada pemakai.

Menurut Caroline, inspirasi dan proses penghasilan pakaian sukan ini diperoleh menerusi pemerhatian suasana dan mood sekeliling serta ditambah dengan kombinasi pelbagai warna dalam setiap rekaan yang dihasilkannya.

“Saya harap kehadiran Carro dapat memberikan imej yang elegan kepada pemakai, di samping kekal aktif dalam aktiviti seharian seperti larian, golf, berbasikal mahupun bersantai bersama rakan-rakan.

“Carro yang boleh didapati secara atas talian menerima sokongan baik daripada pelanggan di negara seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Sweden. Selain untuk pasaran tempatan (Malaysia), Carro juga akan dijual di Zalora tidak lama lagi,” katanya kepada Mega Rona.

Caroline yang sudah menetap di negara ini selama 18 tahun menyifatkan Carro sebagai salah satu jenama Malaysia dan berhasrat untuk membawa pakaian sukan itu setaraf dengan jenama antarabangsa lain seperti Lacoste, Ralph Lauren, Adidas dan Nike.

Sejak diperkenalkan pada 2017, Carro telah menghasilkan lebih daripada 30 rekaan meliputi baju-T, kemeja polo dan singlet.

“Ia diperbuat daripada 100 peratus poliester dengan ciri-ciri seperti mudah kering dan tidak perlu diseterika.

“Ia juga amat ringan, ibarat kulit kedua buat mereka yang memakainya,” katanya yang turut gemar mengamalkan gaya hidup aktif dengan mengunjungi gimnasium.

Bercerita lanjut, Westwood, 41, menjelaskan, dia dan isteri bergiat dalam bidang fesyen sejak lebih 16 tahun lalu dan bekerja di sebuah syarikat yang sama sejak 2003 sebelum mendirikan rumah tangga.

Pada 2005, pasangan tersebut tekad memulakan perniagaan sendiri dengan menawarkan rekaan baju korporat setelah syarikat tempat mereka bekerja berhenti beroperasi.

“Carro merupakan sesuatu yang baharu dan berbeza dengan apa yang kami lakukan sebelum ini. Disebabkan rekaannya unik dan menonjol, ia mungkin membuatkan pengguna berasa ‘ragu’ untuk memakainya.

“Tetapi percayalah, sekali mengenakannya, pengguna akan terus tertarik untuk menyarungkannya berkali-kali. Itu antara respons yang banyak kami terima,” kongsi anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Dalam pada itu, dia berharap kehadiran jenama itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk lebih aktif dalam menjalani kehidupan harian.