Mana tidaknya, potongan busana itu yang klasik dan sopan dipakai seakan mengimbau nostalgia zaman dahulu kala.

Ditambah dengan sentuhan elemen moden dan kontemporari, tidak hairan ia masih mempunyai peminat tersendiri dan menjadi pilihan untuk digayakan.

Menyedari hakikat itu, butik Madam M terus mengekalkan tradisi nenek moyang dengan menyediakan busana berkonsepkan tradisional dengan sedikit suntikan elemen moden yang sesuai digayakan oleh semua peringkat usia.

Menurut pengasasnya, Maslin Md. Ramly, butiknya menawarkan rekaan baju tradisional seperti kurung Pahang, kurung Johor dan kebaya labuh.

Menariknya, pemilihan fabrik masih mengekalkan ciri-ciri klasik dengan penggunaan kain kapas, batik, broked dan kasa rubia.

“Rekaan baju kurung kami sangat mementingkan nilai klasik dan tradisional. Jadi, pemilihan 
fabrik memainkan peranan penting untuk menggamit nostalgia zaman silam.

“Untuk rekaan baju Kurung Sultanah Poket, kami menggunakan kain kasa rubia untuk baju dan dipadankan dengan kain batik bagi membangkitkan mood klasik,” ujarnya.

Tambahnya, penggunaan fabrik broked untuk baju Kurung Pahang Mak Siti juga membuatkan ia digemari ramai kerana rekaannya yang minimalis sesuai untuk digayakan pada hari biasa.

Rekaan yang tidak terlalu sarat dan lebih santai boleh dijadikan pakaian ke pejabat atau menghadiri acara-acara keramaian.

Dengan pilihan warna-warna pastel seperti merah jambu dan hijau lembut pasti membuatkan si pemakai kelihatan lebih anggun dan manis ketika menggayakannya.