Pengasasnya, Noraini Mustafa berkata, kedainya yang terletak di Aked Semarak, Jalan TAR kini bukan sahaja berperanan sebagai kedai harian yang boleh dikunjungi setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 9.30 pagi hingga 6.45 petang, malah premis itu juga merupakan pusat pemborong barangan haji dan umrah terutama telekung, tudung, jubah dan kain ihram.

Menceritakan detik awal bisnes tersebut, katanya, dia pada mulanya menjual kain batik sutera asli. Namun, menyedari kurang mendapat sambutan kemudian beralih kepada jualan kain ela.

“Kemunculan peniaga asing menyukarkan perjalanan bisnes. Saya perlu melakukan sesuatu untuk terus bertahan. Setelah melakukan tinjauan, saya dapati jualan tudung mampu mendatangkan hasil yang lebih baik.

“Jadi, saya mula buat tudung kira-kira lima tahun lalu. Saya cari jenama yang sesuai sebelum memilih Pretty Aini. Pada 2015, saya menambah produk iaitu barangan untuk haji dan umrah. Alhamdulillah, kini saya sudah ada 90 produk,” katanya kepada Mega Rona.

Jenama Pretty Aini kini bukan setakat tudung, malah turut menawarkan telekung, telekung mini, jubah, jubah mini dengan seluar, set pakaian ihram untuk lelaki dan barangan untuk haji dan umrah termasuk stoking wuduk dan sarung lengan.

Selain itu katanya, dia sentiasa mengemas kini rekaan jubah wanita dan jubah lelaki serta tudung mengikut peredaran zaman, namun tetap patuh syariah.

“Misalnya, jubah berwarna ungu ini mempunyai poket di bahagian hadapan.Jadi, bolehlah kita menyimpan barangan kecil seperti tasbih, kunci dan surah di dalamnya.

“Begitu juga telekung dan telekung mini Pretty Aini juga mempunyai poket,” katanya.

Untuk menampakkan jubah dan telekung elegan dan menawan, manik tampal, renda dan sulam tebal diletakkan pada hujung lengan atau hujung telekung.

“Saiz jubah yang ditawarkan adalah daripada S sehingga XXXL dalam enam warna iaitu hitam, putih, coklat, kelabu gelap, kelabu cerah dan ungu muda. Harga pula berpatutan, misalnya harga borong telekung mini daripada kain Japanese Cotton bermula daripada RM40 manakala jubah bermula RM75 sehelai,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 10 jenis rekaan menarik telekung turut ditawarkan. Rekaan yang paling mendapat sambutan adalah telekung mini yang ringkas dan telekung sulam tebal yang mempunyai poket.

Untuk menghadapi persaingan yang semakin sengit di Jalan TAR, dia memastikan kualiti setiap produk adalah terjamin, selesa dipakai dan rekaan berbeza dengan produk yang dijual di kedai lain.

“Saya sendiri mengawal kualiti bermula dari kilang sehinggalah ke premis niaga. Setakat ini saya ada 27 pekerja termasuk di kilang yang terletak di Medan Idaman, Kuala Lumpur,” tambahnya.

Mengulas lanjut katanya, dia merupakan satu-satunya pengeluar yang menggunakan kain Japanese Cotton untuk mini telekung dan jubah.

“Kain ini bersifat sejuk, lembut dan selesa dipakai terutama di Mekah dan Madinah yang mempunyai suhu antara 48 hingga 50 darjah Celsius pada musim panas,” ujarnya.

Selain itu katanya, rekaan jubah dan telekung tidak melekap di badan sekali gus membuatkan ibadah lebih khusyuk.

“Kain ihram Pretty Aini pula adalah daripada kain serap peluh dengan 100 peratus kain kapas, lembut, sejuk dan selesa dipakai serta kain tidak berbulu,” tambahnya.

Selain itu katanya, dia juga menawarkan telekung lengan dalam dua warna asas dan 15 warna lain yang menarik.

Katanya, kain untuk telekung lengan adalah daripada lycra gred A (tidak jarang), rekaan yang tidak mengikut bentuk badan, sejuk dipakai dan sesuai untuk umrah dan haji.

“Telekung lengan juga boleh dijadikan telekung travel. Untuk ibadah haji pula, ia selesa dipakai ketika melontar. Tak perlu pakai inner dan terdapat pelbagai saiz termasuk untuk mereka yang bertubuh besar,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini ketika mengulas perancangan masa hadapan berkata, pihaknya mahu jenama Pretty Aini berkembang pesat ke negara-negara ASEAN.

MENEMBUSI PASARAN

“Setakat ini kami berjaya menembusi pasaran Brunei dan Singapura. Untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, saya berharap dapat masuk ke pasaran Indonesia, Vietnam dan negara ASEAN lain,” katanya.

Noraini juga berazam memiliki bangunan atau wisma sendiri yang akan dijadikan pusat sehenti bagi semua barangan jenama tersebut.

“Saya berharap dapat berkolaborasi dengan Lembaga Tabung Haji dan agensi kembara lain. Kerjasama yang diharapkan adalah pihak berkenaan menggunakan barangan Pretty Aini untuk jemaah haji atau umrah yang pergi menerusi agensi terbabit,” tambahnya.

Mahu berkongsi kejayaan dengan sesiapa sahaja yang berminat memulakan perniagaan, Noraini berkata, mereka yang masih tercari-cari peluang perniagaan yang mahu diceburi boleh menghubungi Pretty Aini.

Katanya, dia bersedia melatih mereka sehingga mampu berdikari dalam dunia perniagaan.

“Dalam masa sama saya buka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi agen, stokis dan dropship jenama Pretty Aini,” katanya.