Bukan sekadar sari biasa, penekanan terhadap pemilihan warna, corak dan sulaman pada busana juga mampu menonjolkan ciri-ciri elegan kepada si pemakai.

“Koleksi Marilyn menggunakan material sari sepenuhnya dan lebih trendy dengan pemilihan fabrik yang berkilau serta mudah di suaipadankan sama ada untuk digayakan dengan skirt labuh atau seluar,” kata pengasas Ann Khan Exclucive, Norain Asarullah Khan.

Menurutnya, baju kurung moden keluarannya didatangkan dalam empat warna lembut iaitu hijau, merah jambu, jingga dan kelabu dengan sulaman bunga halus pada baju untuk kelihatan lebih feminin.

“Baju kurung moden ini bukan sahaja cantik, malah sangat selesa dipakai kerana material yang digunakan sangat berkualiti di samping terletak mengikut bentuk badan pemakai.

“Marilyn menjadi antara rekaan yang sangat laris kerana boleh diubah suai mengikut bentuk badan pemakai iaitu tali pada sisi badan boleh diikat mengikut bentuk badan sama ada longgar atau ketat,” katanya.

Mengulas lanjut, Norain atau dikenali sebagai Ann memberitahu bahawa keistimewaan Marilyn adalah sangat sesuai untuk digayakan ke pejabat mahupun majlis keraian kerana boleh digayakan dengan seluar mahupun kain.

“Mereka boleh padankan baju Marilyn dengan mana-mana seluar yang mereka suka dan siap untuk aktif melakukan aktiviti harian.

“Selain itu, Marilyn juga sesuai untuk digayakan bagi ibu yang menyusukan bayi kerana reka bentuknya memudahkan pemakai untuk menyusukan anak,” katanya.

Tambahnya, baju kurung moden ini menampilkan saiz daripada S hingga ke XL sesuai untuk pelbagai jenis saiz badan dan turut disertakan kain yang boleh dilonggarkan sekiranya pemakai mengalami penambahan berat badan.

“Reka bentuk yang berkualiti ini bukan sahaja mempunyai jahitan yang kemas malah turut dilengkapi dengan lining untuk mengelakkan daripada terlalu jarang,” katanya.

Dalam pada itu, kain sari yang pada mulanya digunakan untuk kegunaan sendiri menjadi ilham untuk digunakan secara meluas untuk perniagaannya memandangkan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakan-rakan mahupun ahli keluarga.

“Pada mulanya saya memakai sari yang dijadikan baju kurung moden untuk kegunaan sendiri, namun saya sedar ramai yang berminat dengan rekaan kurung moden menggunakan material sari.

“Menariknya mengenai sari adalah boleh digayakan sebagai blaus biasa untuk pemakaian bagi aktiviti santai,” katanya.