Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh Kumpulan Hasani itu adalah bertujuan bagi mendapatkan dana untuk membantu mangsa pelarian di beberapa buah negara termasuk Yemen, Syria, Palestin dan Rohingya.

Pengarah Urusan Kumpulan Hasani, Farook Hassan Mohamed Hussain berkata, selain daripada itu, program tersebut juga merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya untuk memupuk semangat kesukanan dan budaya sihat dalam kalangan masyarakat.

Tambah beliau, sebahagian daripada hasil kutipan itu akan diserahkan kepada pihak Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), pada 25 Jun ini.

“Di samping itu, kita juga telah menyerahkan mesin hemodialisis kepada Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail sempena program ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Kuala Muda, Nordin Yahya dan Yang Dipertua MPSP, Mohd. Fauzi Mustaffa.

Dalam pada itu, Farook Hassan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak kerana memberikan kerjasama yang baik termasuk menghulurkan sumbangan bagi hadiah untuk acara cabutan nombor bertuah berupa telefon, basikal, barangan elektrik dan hamper. - UTUSAN ONLINE