Turut dikenali sebagai Gunung Xueshan atau Gunung Syue dengan ketinggian 3,886 meter dari paras laut, ia adalah gunung kedua tertinggi di Taiwan selepas Yushan 3,952 meter.

Terdapat dua kabin di laluan menuju ke puncak Syue iaitu Kabin Cika di kilometer (KM) 2.0 dan Kabin 369 di KM 6.9. Puncak Syue pula berada di titik KM10.9. Kedua-dua kabin itu mempunyai kemudahan yang sangat asas iaitu katil bunker (pangkin panjang dua tingkat), tandas dan tempat memasak.

Baru-baru ini satu ekspedisi diketuai oleh Mohd Khafiz Bachok (Kichok) dari Get Lost Asia menakluk gunugn itu. Barisan pendaki terdiri daripada penulis, Faizal Juana Kusuma Mohd. Radzali, Mohd Irza Dahari,Arif Sukarno, Mohd Firdaus Abdul Rashid, Mohd Kamilan Karudin, Nurislam Nasirin, Ruzanna Ruslee,Mohd Syahmi Asyraf Awang Mohd, Muhammad Azuri Bakri, Nuriatul Mahfuzah Musli, Rabiatul Adawieah Ahmad Zukri, Muhd Khairul Shafee, Azlee Mustafa dan Mohd. Amiruzami.

Kichok merupakan seorang pemandu arah yang berpengalaman luas dan mahir dalam pendakian di kawasan bersalji. Ini adalah kali ke-10, dia mendaki Gunung Syue.

Ni Hao, Taiwan! Berikut adalah catatan ekspedisi kami:

6 Mac 2019: Kami selamat mendarat di Touyan National Airport di Taipei. Penerbangan memakan masa empat jam.

7 Mac 2019: Kami menaiki bas menuju ke Shei-Pa National Park dan Wuling Farm. Setibanya di pejabat renjer untuk urusan permit, kami disajikan dengan pemandangan indah pohon sakura yang berbunga.

Tepat pukul 12 tengah hari, kami memulakan pendakian dari pintu masuk Taman Hutan Wuling ke Kabin Cika pada ketinggian 2,400 meter. Pendakian memakan masa dua jam. Udara segar yang nyaman dan kedinginan mula terasa.

Beg yang perlu dipikul agak besar dan berat, lagaknya seperti malim gunung! Ini kerana pendaki harus membawa sendiri peralatan tidur, peralatan mendaki, bahan makanan untuk memasak dan pelbagai barang keperluan lain tanpa ada bantuan pengangkut barang (porter). Boleh dikatakan setiap pendaki memikul beg galas seberat 20 hingga 30 kilogram. Fuhh...,betul-betul mencabar fizikal dan mental pula agak sedikit ‘koyak’ bila bawa beg seberat itu.

Menariknya, pendakian ini memberi pengalaman kepada penulis untuk mempelajari asas pendakian alpine. Kami bermalam di Kabin Cika sambil mempersiapkan diri dengan pelbagai peralatan mendaki gunung ais yang masih baharu buat kami seperti kasut berpaku atau crampon, kapak ais, carabiner, abah-abah (harness), topi keselamatan (helmet), gaiter, tali dan sebagainya.

Selepas makan malam, sesi suai kenal bermula. Kichok mengajar kami cara-cara menggunakan dan memakai semua peralatan tersebut selain taklimat pendakian keesokan harinya.

8 Mac 2019: pendakian bermula seawal pukul 8.30 pagi. Ia lebih mencabar berbanding pendakian semalam kerana bentuk muka bumi dan laluan semakin curam dan tegak. Trek pendakian hari kedua ini masih di kawasan hutan pokok pain dan pokok renek kawasan pergunungan.

Jarak mendaki hari ini agak jauh dan melelahkan dengan beban yang dipikul. Kami singgah di East Peak of Xue Mountain pada paras 3,201 meter. Pemandangan dari puncak itu amat menakjubkan dengan salji memutih dan kehijauan hutan pain.

Setelah lapan jam berjalan dan berehat seketika, akhirnya pada pukul 4.30 petang kumpulan kami tiba di Kabin 369. Kami menyediakan makan malam di dapur yang dikongsi bersama pendaki lain serta renjer hutan yang ditugaskan memantau pendaki. Selepas menikmati nasi putih bersama masak lemak daging salai, ikan masin dan sambal hitam, kami berehat sambil mempersiap segala keperluan dan peralatan untuk ‘menyerang’ ke puncak pada awal pagi esok.

9 Mac 2019: Hari ketiga pendakian. Seawal pukul 5 pagi, semua pendaki sudah bersedia dan mula bergerak selepas bacaan doa dan taklimat ringkas. Kami berjalan kira-kira satu kilometer dari kabin ke pintu masuk Black Forrest. Kami juga menempuh perjalanan sukar dan panjang dalam hutan pain yang tebal sejauh dua kilometer. Kami sangat teruja apabila bertembung dengan rusa gunung yang besar dan gemuk! Satu pengalaman yang memang tidak dapat dilupakan apabila treking dalam hutan tebal yang bersalji.

Pemakaian crampon amat membantu kami berjalan di permukaan salji tebal. Crampon menjadikan kasut kami lebih mencengkam pada permukaan ais sekali gus mengelakkan daripada tergelincir. Kapak ais juga sentiasa di tangan, berfungsi seolah-olah tongkat yang menyokong keseimbangan badan ketika berjalan. Cermin mata hitam atau goggle salji sentiasa melekap pada mata bagi memastikan pendaki tidak mengalami gejala ‘buta salji’.

Keluar sahaja dari kawasan Black Forrest, salji bertukar daripada softsnow kepada hardsnow, menyebabkan perjalanan mengambil masa lebih lama kerana perlu berhati-hati. Pendaki di hadapan perlu memecahkan ais menggunakan kapak untuk membuat trek. Laluan Summit Attack pula mempunyai sudut kecuraman yang tinggi dan pendaki perlu mengelak daripada tergelincir. Kemalangan serius boleh berlaku di kawasan ini jika tidak berhati-hati. Kami berjalan dalam satu barisan dan diikat dengan tali. Ini adalah pendakian paling gayat bagi penulis! Terus penulis teringatkan suasana seperti dalam filem Everest.

8 jam Summit Attack

Selepas berhempas pulas hampir lapan jam mengharungi angin kencang, salji tebal dan trek ais, akhirnya puncak Gunung Syue berjaya digapai kira-kira pukul 1 tengah hari. Masing-masing mengucapkan syabas! Puncak Syue setinggi 3,886 meter telah berjaya kami tawan! Yeahhhhh! Achievement unlocked! The best feeling ever!

Jalur Gemilang berkibar megah di puncak. Langit biru dan cerah waktu itu. Pemandangan di puncak dikelilingi salji memutih amat indah, menakjubkan dengan cuaca yang baik dan tenang. Gumpalan awan berlapis seperti kapas di bawah jejak kami. Terasa seperti berada di ‘Negeri Salju di Atas Awan’. Alhamdulillah syukur!

Selepas puas merakamkan momen indah di puncak, kami turun kira-kira pukul 2 petang. Perjalanan turun lebih mencabar dan menguji kemampuan teknikal berjalan di atas salji. Kudrat yang ada juga semakin terhad sehingga ada antara kami yang terus berbaring di atas salji setiap kali berhenti rehat.

Saat mencemaskan apabila Abi (Rabiatul Adawieah) tergelincir dari trek yang curam. Mujur kami diikat dengan tali dan penulis yang berada di belakang Abi turut tertarik dan hampir menggelongsor, tetapi penulis cepat-cepat duduk sambil ‘mencangkuk’ kapak pada ais. Fuhh, jantung berdegup kencang! Setelah bertenang, kami lebih berhati-hati mengatur langkah untuk turun. Perjalanan turun dirasakan terlalu jauh dan panjang, mungkin disebabkan kami terlalu penat. Hampir pukul 7 malam barulah kami tiba semula di Kabin 369. Tempoh perjalanan hari ini adalah kira-kira 14 jam.

10 Mac 2019: Kami turun secara santai selepas sarapan pada pukul 9 pagi. Kami berhenti makan tengah hari di Kabin Cika. Perjalanan turun mengambil masa sekitar enam jam. Kami menjerit gembira bagi meraikan kejayaan sebaik sahaja menjejakkan kaki semula di pejabat renjer Taman Hutan Wuling.

Bagi anda yang ingin mendaki gunung ini pada musim sejuk, sila kemas kini ramalan cuaca dan sentiasa bersedia dengan cuaca yang buruk di sepanjang laluan ke puncak. Selamat tinggal Gunung Syue! Kenangan pahit manis sepanjang perjalanan ini akan sentiasa terpahat di hati kami.

Xiexie, Xueshan!