LONDON: Britain dilaporkan berdepan hari paling panas dalam rekod tahun ini iaitu dengan suhu mencecah 33 darjah Celsius di tengah-tengah amaran tahap haba dikeluarkan.
Malah, rata-rata penduduk Britain turut mengadu `cuaca terlalu panas untuk bekerja’ pada masa ini, menyebabkan mereka membuat tuntutan kepada syarikat masing-masing untuk membenarkan kerja dari rumah.
Lapor Daily Mail, pakar sumber manusia turut menggesa majikan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah ketika cuaca panas untuk mengelakkan perjalanan ulang-alik dalam keadaan menyesakkan.
Katanya, majikan lain mungkin boleh mengikuti trend dengan menawarkan pekerja mereka cuti tahunan tambahan selama satu atau dua hari yang boleh digunakan untuk cuaca hari panas.
Dilaporkan, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengeluarkan amaran haba Tahap Tiga bermula Isnin sehingga Jumaat ini.
Ahli meteorologi meramalkan negara bakal menyaksikan 36 darjah Celsius pada hujung minggu ini, dengan ada pakar menjangkakan suhu panas mampu mencecah sehingga 43 darjah Celsius.
Setakat ini, hari paling panas direkodkan di United Kingdom (UK) pada tahun 2022 adalah pada 17 Jun lalu apabila suhu di Santon Downham di Norfolk meningkat kepada 32.7 darjah Celsius.
Sebelum ini, suhu tertinggi yang pernah direkodkan adalah 38.7 darjah Celsius di Cambridge pada 15 Julai 2019.
Sementara itu, pakar alam sekitar dari Universiti Portsmouth, Prof. Mike Tipton memberi amaran mengenai masalah kesihatan yang bakal tercetus akibat suhu panas melampau.
Menurut Tipton, Britain juga bakal menyaksikan peningkatan kira-kira 2,000 kes kematian akibat gelombang haba itu.
“Rata-rata orang mungkin mengalami masalah darah beku dan jantung disebabkan cuaca panas melampau yang dialami badan.
“Kemungkinan besar negara bakal menyaksikan peningkatan 1,000 hingga 2,000 kes kematian akibat gelombang haba dan sebahagian besarnya membabitkan warga emas,” katanya dalam program Today di saluran BBC Radio 4.