KYIV: Sekurang-kurangnya 352 orang awam termasuk 14 kanak-kanak terbunuh di tengah-tengah serangan Rusia di Ukraine.
Lapor Al Jazeera, perkara itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Ukraine.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada masa ini meletakkan angka kematian orang awam pada 102 termasuk tujuh kanak-kanak.
Bagaimanapun, agensi antarabangsa itu memberi amaran jumlah korban sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Setakat ini, Rusia belum memberi sebarang maklum balas mengenai angka kematian orang awam itu.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan lebih 500,000 orang melarikan diri dari Ukraine untuk mencari perlindungan di negara lain.
Eksodus itu mencetuskan krisis yang semakin memuncak di lokasi lintasan sempadan ketika ribuan penduduk menunggu untuk merentas ke negara-negara jiran Eropah termasuk Poland, Hungary dan Romania. – AGENSI