LONDON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat alahan selepas makan spageti ketika bercuti bersama keluarganya.
Lapor Mirror, Cameron Wahid mengalami ‘kejutan anafilaksis yang teruk’ berikutan makan pasta mengandungi susu di sebuah restoran di bandar Ravello di Pantai Amalfi, Itali.
Pasta dimakan oleh Cameron disajikan dengan sos tomato yang dimasak dengan susu.
Dalam laporan yang didedahkan kelmarin, sebelum memesan makanan keluarga Cameron meminta pekerja restoran untuk tidak menggunakan sebarang produk tenusu dalam spageti tersebut memandangkan anak mereka mempunyai alahan teruk.
Namun, pelayan restoran itu tidak memahami permintaan mereka dan memberi jaminan kepada keluarga Cameron semua makanan dihidangkan adalah selamat.
Cameron rebah di hadapan ibunya, Cassandra, 43, bapanya, Rizwan, 43, dan adik lelakinya, Aidan selepas makan hidangan pasta tersebut dan alami serangan jantung.
Cassandra yang merupakan jururawat sempat menyuntik epipen namun kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia tiga hari kemudian pada 30 Oktober 2015 di sebuah hospital kira-kira 56 kilometer dari Naples.
Sehubungan itu, Ibu bapa Cameron mengambil tindakan undang-undang terhadap restoran, La Margherita Villa Giuseppina dan pelayan tersebut, Ester Di Lascio didapati bersalah melakukan pembunuhan pada September 2019.
Keluarga tersebut turut dibayar pampasan sebanyak 288,000 pound (RM1.7 juta). – AGENSI