Itali yakin dapat bebas daripada ancaman Covid-19 - Utusan Malaysia

Itali yakin dapat bebas daripada ancaman Covid-19

ORANG ramai mengunjungi restoran tanpa memakai pelitup muka dan menjaga jarak sosial di Rom, Itali. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Bermula semalam, penduduk Itali tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka, selain pihak berkuasa mengisytiharkan negara ini sebagai ‘zon risiko rendah’ Covid-19.

Kementerian Kesihatan Itali buat pertama kali mengkategorikan setiap daripada 20 wilayah di negara ini sebagai ‘putih’ iaitu sistem kod warna yang menunjukkan tahap jangkitan Covid-19 mengikut wilayah.

Pernah menjadi ‘simbol’ krisis koronavirus di negara Barat, kadar jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Itali turun mendadak sejak beberapa minggu lalu.

Sebanyak satu per tiga penduduk Itali yang berusia atas 12 tahun sudah menerima suntikan vaksin sehingga kelmarin atau bersamaan 17,572,505 orang.

Selain itu, larangan kemasukan pelancong dari Kesatuan Eropah (EU), Britain, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Jepun kini mula dilonggarkan selepa kerajaan Itali menarik balik keperluan kuarantin kepada pengunjung yang sudah menerima vaksin, atau keputusan ujian Covid-19 adalah negatif.

Namun, Menteri Kesihatan, Roberto Speranza tetap mengingatkan penduduk negara ini supaya sentiasa berhati-hati kerana situasi boleh memburuk pada bila-bila masa sekiranya lalai dalam pematuhan protokol kesihatan.

“Situasi kini sangat menggalakkan, namun langkah pencegahan dan berhati-hati tidak boleh diabaikan, terutamanya dengan kemunculan varian baharu Covid-19.

Itali memulakan perintah berkurung dan sekatan ketat sejak November tahun lalu bagi memerangi gelombang kedua jangkitan koronavirus.

Bagaimanapun, negara ini mula melonggarkan sedikit demi sedikit kesemua sekatan itu sejak bulan lalu dengan seluruh Itali diletakkan dalam zon kuning.

Zon itu menyaksikan penduduk tidak terlalu terikat dengan sekatan yang ditetapkan, namun perintah berkurung waktu malam masih dikuatkuasakan.

Lebih 127,000 penduduk Itali maut akibat Covid-19, manakala lebih empat juta dijangkiti virus maut itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN