DUBAI: Seorang guru merangkap aktivis dari India yang terkenal dengan usaha membina ratusan pusat pembelajaran dan melukis mural pendidikan di kawasan setinggan, telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Guru Global bernilai AS$1 juta (RM3.95 juta) semalam.
Rouble Nagi menerima anugerah berprestij tersebut di Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), sebuah acara tahunan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari seluruh dunia.
Menerusi Yayasan Seni Rouble Nagi, beliau telah menubuhkan lebih 800 pusat pembelajaran di seluruh India.
Misi utamanya adalah untuk memberikan akses pembelajaran berstruktur kepada kanak-kanak yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, selain membantu mereka yang sudah pun bergelar pelajar.
Keunikan Nagi terletak pada inisiatifnya melukis mural di dinding-dinding kawasan setinggan yang menerapkan elemen literasi, sains, matematik dan sejarah bagi menarik minat komuniti setempat terhadap ilmu pengetahuan.
Nagi merancang untuk menggunakan wang kemenangan tersebut bagi membina sebuah institut yang menawarkan latihan vokasional secara percuma kepada golongan memerlukan.
Anugerah ini dikendalikan oleh Yayasan Varkey yang diasaskan oleh Sunny Varkey, individu di sebalik syarikat pendidikan bermotifkan keuntungan, GEMS Education yang mengendalikan puluhan sekolah di Mesir, Qatar dan UAE.
Nagi merupakan guru ke-10 yang menerima anugerah ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2015.
Pemenang tahun lalu, Mansour al-Mansour dari Arab Saudi diiktiraf atas usahanya membantu golongan miskin di negaranya.
Antara pemenang terdahulu termasuk seorang guru dari Kenya yang menyalurkan sebahagian besar pendapatannya kepada golongan miskin.
Seorang guru Palestin yang menerapkan nilai keamanan dan antikeganasan kepada pelajarnya manakala guru Kanada yang berkhidmat di perkampungan terpencil Inuit di Artik turut pernah memenangi anugerah tersebut. – AGENSI










