Akibat gred rendah, guru diikat pada pokok, dibelasah - Utusan Malaysia

Akibat gred rendah, guru diikat pada pokok, dibelasah

GAMBAR tular menunjukkan tiga lelaki diikat pada pokok dengan tali merah sebelum dipukul. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah di India didakwa mengikat guru Matematik dan kerani sekolah pada sebatang pokok sebelum membelasah mereka menggunakan kayu. 

Puluhan pelajar bertindak demikian selepas sebahagian daripada mereka berasa tidak puas hati menerima gred rendah dalam peperiksaan.

Memetik laporan Oddity Central, kejadian mengejutkan itu berlaku di Scheduled Tribe Residential School di Dumka, Jharkhand pada Isnin lalu.

Pelajar tersebut dikatakan memperdaya dua individu itu ke kampus sekolah terbabit dengan untuk membincangkan markah peperiksaan Matematik Kelas 9 yang diperoleh baru-baru ini.  

“Pelajar berkenaan dipercayai bertindak luar batas dengan mengikat kakitangan sekolah itu pada pokok dan memukul mereka,” jelas laporan itu.

Beberapa gambar dan video yang tular dalam media sosial menunjukkan tiga lelaki diikat pada pokok dengan tali merah dan puluhan pelajar berada di sekeliling mereka serta membawa batang kayu.   

Video kejadian itu dengan pantas menjadi tular walaupun pukulan itu tidak dirakam pada kamera.

Siasatan polis mendapati mangsa memang diserang secara fizikal oleh kumpulan pelajar yang marah.

Malah, seorang daripada mangsa turut memberi keterangan dalam keadaan kepalanya berbalut yang menunjukkannya dipukul dengan kayu pemukul.

Sementara itu, India Times melaporkan seramai 11 daripada jumlah 32 pelajar dari sebuah kelas menerima gred DD, yang bersamaan dengan gagal sehingga mencetuskan kemarahan seluruh pelajar. 

“Pelajar berkenaan meminta guru Matematik, Suman Kumar dan kerani yang memuat naik gred di laman sesawang sekolah, Soneram Chaure supaya bertanggungjawab serta membalas dendam mereka,” jelas laporan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN