NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan ramai lagi cedera akibat dipanah petir di bandar utara Jaipur, semalam.
Lapor BBC, ketika kejadian, mangsa sedang mengambil selfie semasa hujan di atas sebuah menara di Amer Fort yang merupakan destinasi pelancongan popular di kawasan tersebut.
Kira-kira 27 orang berada di atas menara dan tembok kubu ketika kejadian itu berlaku.
Malah, beberapa orang dilaporkan melompat dari menara itu semasa kejadian tersebut.
Sekurang-kurangnya 2,000 orang maut akibat dipanah petir di India sejak tahun 2004.
Seorang pegawai polis memberitahu media tempatan, menara tersebut merupakan lokasi popular di kubu tersebut.
Katanya, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia merupakan orang muda.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebanyak sembilan orang lagi maut akibat dipanah petir di Rajasthan.
Ketua Menteri Rajasthan, Ashok Gehlot menzahirkan ucapan takziah dan mengumumkan pampasan sebanyak 500,000 rupees (RM28,140) kepada ahli keluarga mangsa yang maut dalam insiden itu. – AGENSI










