BEIJING: China memaklumkan pihaknya sudah menghantar pasukan penyiasat ke Pakistan untuk menyiasat insiden letupan bas yang mengorbankan 13 orang termasuk sembilan warganegaranya.
Menteri Keselamatan, Zhao Kezhi menerusi kenyataan memaklumkan Beijing menghantar pakar teknikal siasatan jenayah bagi membantu siasatan.
“China dan Pakistan akan bekerjasama mencari punca sebenar insiden letupan itu,” katanya.
Beliau juga menggesa Islamabad untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi melindungi warganegara China yang berada di negara itu.
Rabu lalu, sebanyak 13 orang termasuk sembilan pekerja China terbunuh selepas sebuah bas meletup di barat laut Pakistan.
Bas tersebut membawa kira-kira 40 jurutera, juru ukur dan kakitangan mekanik warga China ke tapak pembinaan empangan Dasu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Katanya, seramai 28 penumpang warga China turut mengalami kecederaan.
Keselamatan pekerja dari China telah lama menjadi isu di Pakistan.
Sebahagian besar penduduk China berada di Pakistan untuk menyelia projek pembinaan. – AFP










