MELBOURNE: Jika kebanyakan masyarakat gemar memakai barang kemas yang diperbuat daripada emas dan berlian, berbeza pula dengan seorang wanita di sini.
Jacqui Williams gemar menghasilkan aksesori seperti rantai, gelang tangan, cincin dan subang daripada sisa orang mati.
Wanita berusia 29 tahun itu menghasilkan kesemua barang kemas tersebut menggunakan gigi, rambut dan abu individu yang sudah meninggal dunia.
Katanya, penghasilan barang kemas unik itu membantu mereka yang kehilangan insan tersayang menghadapi saat sukar.
“Saya akan gunakan gigi si mati untuk dijadikan apa jua jenis aksesori, mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.
“Saya lakukan kerja ini kerana ingin bantu mereka hadapi saat sukar apabila kehilangan insan tersayang,” katanya.
Jelas wanita itu, aksesori yang dihasilkannya boleh membuatkan masyarakat berasa ‘dekat’ dengan insan tersayang mereka yang sudah tiada.
Sebelum ini, Williams pernah bekerja di restoran sepenuh masa dan hanya menghasilkan aksesori sebagai menjana pendapatan tambahan.
Namun, lama-kelamaan, wanita itu meyedari minat sebenarnya adalah hasilkan aksesori.
Antara aksesori paling mahal yang pernah dihasilkan Williams adalah cincin perkahwinan yang dihiasi dengan gigi suami pelanggannya.
Cincin itu dijual pada harga AUD$7,500 (RM23,532).










