NEW DELHI: Kira-kira 800 doktor di India meninggal dunia pada gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di negara itu.
Lapor Indian Express, data itu didedahkan oleh Persatuan Perubatan India (IMA).
Menurut IMA, majoriti kes kematian doktor akibat Covid-19 direkodkan di Bihar dan New Delhi.
Jelas IMA, seramai 128 doktor meninggal dunia di New Delhi manakala 115 dari Bihar dan 79 doktor di Uttar Pradesh ketika gelombang kedua pandemik Covid-19.
West Bengal pula melaporkan sebanyak 62 kes kematian diikuti Tamil Nadu (51 kes), Rajastan (44 kes), Andra Pradesh (42 kes), Gujarat (39 kes), Jharkhand (39 kes), Telangana (37 kes), Odisha (36 kes), Kerala (24 kes) dan Maharashtra (23 kes).
Haryana mencatatkan 19 kematian manakala Assam pula sebanyak 10 kematian.
Tambah laporan itu, setakat ini, data IMA menunjukkan lebih 1,500 doktor telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19.
IMA memilih nama Save the Saviours sebagai tema sempena Hari Doktor peringkat kebangsaan yang diraikan di India pada 1 Julai. – AGENSI