ISLAMABAD: Ratusan warga Pakistan yang kebanyakannya bekerja di luar negara dilaporkan menyerbu sebuah pusat vaksinasi di Islamabad, semalam.
Dilaporkan, golongan pekerja itu terdesak untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech atau AstraZeneca agar membolehkan mereka bekerja di Arab Saudi.
Arab Saudi ketika ini hanya meluluskan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson.
Oleh itu, mana-mana individu yang tiba di Arab Saudi tanpa mendapatkan suntikan daripada vaksin Covid-19 disenaraikan, diwajibkan menjalani tempoh kuarantin pada suatu jumlah kos yang perlu ditanggung oleh mereka.
Ramai warga Pakistan yang bekerja di Arab Saudi memaklumkan tidak mampu untuk menanggung kos tersebut.
Pakistan ketika ini banyak bergantung pada vaksin Sinopharm, CanSinoBio dan Sinovac yang disumbangkan oleh China.
“Ramai orang membanjiri pusat vaksinasi itu kerana bimbang akan kehabisan bekalan vaksin,” kata seorang saksi, Muhammad Ismail kepada Reuters.
Muhammad Ismail yang bekerja di sebuah restoran di Arab Saudi berkata, negara itu ketika ini tidak meluluskan sebarang vaksin yang dihasilkan di China.
“Jadi, anda perlu menjalani kuarantin dan kosnya mencecah sekitar 5,000 riyal (RM5,535). Gaji bulanan saya hanya 1,800 riyal (RM1,992), jadi bagaimana saya mampu membayarnya,” katanya.
Muhammad Ismail bersama empat ahli keluarga lain datang ke pusat vaksinasi di Islamabad dengan harapan mendapat suntikan vaksin AstraZeneca dan dapat kembali bekerja di Arab Saudi.
Beberapa saksi lain yang enggan mendedahkan nama mereka turut mengesahkan perkara itu.
Mereka menganggarkan ratusan orang menyerbu pusat vaksinasi tersebut. – REUTERS