fbpx

27 Januari 2021, 8:43 pm

  TERKINI

Strategi vaksin Indonesia dipersoal

JOKOWI menjadi pemimpin Asia Tenggara pertama menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama di Asia Tenggara yang menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac, semalam.

Bekas Gabenor Jakarta itu komited untuk meyakinkan rakyatnya bahawa vaksin merupakan satu daripada langkah berkesan untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 yang direkodkan semakin meningkat di negara ini.

Sehingga kini, Indonesia merekodkan sebanyak 837,000 kes dengan 24,343 kematian.

Sehubungan itu, Jokowi membuat keputusan untuk menjadi calon pertama di Indonesia yang menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan harapan rakyat di negara ini dapat menerima usaha kerajaan dengan hati terbuka.

Sama seperti kebanyakan pemimpin negara lain yang sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19, Jokowi disuntik juga disiarkan secara langsung untuk ‘menguatkan lagi keyakinan rakyat’ bahawa vaksin itu adalah selamat.

Dalam fasa pertama, golongan perubatan sebanyak 1.3 juta orang dan petugas sektor perkhidmatan termasuk polis dan tentera seramai 17.4 juta akan menerima suntikan vaksin Covid-19 secara percuma sebelum diedarkan kepada rakyat.

Selain itu, golongan personaliti media sosial dan selebriti juga ada yang terpilih untuk menerima suntikan vaksin bagi mendorong rakyat untuk sama-sama mengambil alternatif itu.

 

Strategi vaksin dipersoalkan

Namun, strategi kerajaan Indonesia dalam pengedaran vaksin Covid-19 dipersoalkan beberapa pihak.

Hal ini kerana, Indonesia menyasarkan golongan penduduk berusia 18 hingga 59 untuk menerima suntikan vaksin dos pertama berbanding warga emas.

Di United Kingdom (UK), individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 merupakan seorang wanita berusia 90 tahun, manakala di Kanada, orang paling ‘muda’ disuntik vaksin berusia 89 tahun.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr. Nadia Wikeko berkata, strategi itu dilakukan kerana kerajaan negara ini masih belum menyelesaikan ujian klinikal fasa tiga untuk golongan warga emas.

“Kami masih menunggu untuk Badan Pengawasan Ubatan dan Makanan (BPOM) meneliti sama ada vaksin Sinovac itu selamat digunakan untuk penduduk berusia atas 60 tahun,” katanya.

 

Strategi dapat sokongan

Seorang wanita, Putu, 56, dari Bali menyatakan kebanyakan warga emas di Indonesia selalu duduk di rumah dan risiko untuk dijangkiti Covid-19 adalah lebih rendah berbanding mereka yang bekerja.

“Jika orang muda yang menerima suntikan vaksin terlebih dahulu, mereka sudah mendapat perlindungan dan boleh melawat warga emas dengan selamat, sekali gus kes jangkitan dapat dikurangkan,” ujarnya.

 

Ditentang pakar vaksin

Pakar vaksin, Kim Mulholland dari London School of Hygiene and Tropical Medicine yang berpangkalan di Universiti Melbourne berpendapat, warga emas yang sudah pun menerima vaksin di China dan Asia Barat mempunyai tindak balas yang sama dengan golongan muda.

Katanya, perdebatan bahawa warga emas tidak perlu di vaksin dahulu kerana mereka tidak dimasukkan dalam fasa ujian di negara ini adalah tidak logik.

“Jika anda lihat kajian yang dilakukan di setiap negara, bukti menunjukkan usia mempengaruhi tahap jangkitan Covid-19 dan di Indonesia, kebanyakan kes kematian disumbangkan oleh penduduk berusia atas 60 tahun,” jelasnya.

Data yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan negara ini menunjukkan populasi berusia atas 60 tahun adalah sebanyak 10 peratus, namun menyumbang kadar kematian akibat Covid-19 sehingga 39 peratus.

BERITA BERKAITAN