BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand merampas 50 juta pil methamphetamine berhampiran sempadan negara itu dengan Myanmar.
Ia sekaligus menjadikannya rekod terbesar rampasan dadah jenis methamphetamine di Thailand dan kedua terbesar di Asia.
Menurut polis, pil dadah itu dikesan berada dalam guni besar di belakang sebuah trak yang berjaya dipintas oleh pasukan polis dan tentera Thailand di pusat pemeriksaan keselamatan di wilayah Kanchanaburi.
Kata polis, seorang lelaki dan wanita yang berada di dalam trak tersebut juga ditahan.
Dalam pada itu, wakil Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC), Jeremy Douglas berkata, ia merupakan penemuan kedua terbesar selepas lebih 55 juta pil dadah itu ditemukan di Laos berhampiran rantau Segitiga Emas, dalam rampasan dadah methamphetamine Asia.
Menurut beliau, sindiket jenayah Asia bekerjasama dengan militan bersenjata untuk menyeludup methamphetamine yang dihasilkan di negeri Shan, utara Myanmar ke arah selatan.
Katanya, rangkaian pengedaran menjangkau ke negara Jepun dan New Zealand.
“Pengeluaran semakin berkembang dan mereka sudahpun bekerjasama sebelum ini dan ia menguntungkan,” katanya. – REUTERS










