BANJARMASIN: Pihak berkuasa di Banjarmasin, Kalimantan Selatan menetapkan status bersiap sedia untuk darurat jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah sehingga 30 Oktober ini.
Jurucakap pentadbiran Banjarmasin, Machli Riyadi berkata, pihak berkuasa memandang serius masalah yang berlaku sehingga menetapkan status berkenaan.
Katanya, pihak berkuasa wilayah ini sudah pun melakukan penyelarasan bencana jerebu kebakaran hutan.
“Sejak 1 Ogos lalu, menerusi dekri Datuk Bandar Banjarmasin, sudah ditetapkan mengenai status tersebut.
“Namun, disebabkan situasi ketika ini semakin parah, pihak berkuasa bersedia untuk melaksanakan darurat pada bila-bila masa.
“Kualiti udara di Banjarmasin ketika ini amat tidak sihat,” katanya.
Jelas Machli, musim kemarau tahun ini lebih ekstrem akibat fenomena El Nino.
Berdasarkan Data Badan Pencegahan Bencana Daerah Kota Banjarmasin, terdapat 31 titik panas di seluruh wilayah ini.
Dalam pada itu, kawasan paling teruk terjejas akibat jerebu adalah Banjarmasin Utara, Banjarmasin Selatan dan Banjarmasin Timur.
“Kesemua kawasan itu berada berhampiran dengan titik panas dan disebabkan itu tahap jerebu yang direkodkan lebih serius,” ujarnya.