YANGON: Junta tentera Myanmar memberi pengampunan kepada 2,153 tahanan politik sempena sambutan perayaan Hari Wesak.
Pengumuman itu menyebabkan kawasan di luar pekarangan Penjara Insein di Yangon dipenuhi ahli keluarga yang mahu bertemu banduan yang bakal dibebaskan.
Sebahagian daripada lebih 50 yang berkumpul di kawasan itu turut memegang kertas tertera nama ahli keluarga yang ditahan ketika bas membawa bekas tahanan keluar dari kompleks berkenaan.
Junta dalam satu kenyataan berkata, pengampunan berkenaan diberikan kepada banduan yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 505(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun.
Tentera mengarahkan pengampunan dibuat atas dasar kemanusiaan bagi memberikan ketenangan minda kepada orang ramai.
Namun, penerima pengampunan itu akan diarah menjalani baki tempoh hukuman dengan penalti tambahan jika dikenal pasti mengulangi kesalahan mereka.
Ribuan penunjuk perasaan dan aktivis ditahan oleh pasukan tentera sejak Februari 2021 dan kerajaan Myanmar sering memberi pengampunan kepada banduan sempena cuti umum kebangsaan atau perayaan Buddha.
Berdasarkan kumpulan pemantau tempatan, lebih 21,000 individu ditahan sejak tentera menggulingkan kerajaan diterajui bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 170 wartawan ditahan sepanjang tempoh sama. – AFP