JAKARTA: Indonesia menghantar lebih 20 helikopter ke enam daerah di Sumatera dan Kalimantan sebagai langkah pencegahan selepas berlaku kebakaran hutan serta ladang dalam skala kecil pada minggu lalu.
Pemangku Ketua Pusat Komunikasi, Data dan Maklumat Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB), Dr. Abdul Muhari, berkata kebakaran yang mencetuskan kebimbangan berlakunya jerebu di rantau berkenaan, tidak merebak disebabkan faktor hujan serta usaha memadam api di lapangan.
“Helikopter BNPB, bagi tujuan pemantauan dan memadamkan api dalam keadaan siap siaga di Riau, Jambi di Sumatera Selatan; Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
“Berlaku kebakaran tetapi pada skala kecil. Kami menjangkakan cuaca lembap dan kering tahun ini dapat kurangkan kebakaran, berbeza berbanding keadaan pada tahun 2015 dan 2018,” katanya.
Beliau berkata, walaupun keadaan cuaca seperti dilaporkan, semua kelengkapan dan peralatan bagi memadam kebakaran serta tenaga kerja sentiasa bersiap sedia sehingga bulan depan.
Pegawai Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar, Alfi Fahmi, yang ditugaskan membuat penilaian bagi wilayah Sumatera, memaklumkan tompok panas dikesan di Aceh dan Riau yang mengakibatkan kebakaran hutan serta ladang, namun tidak merebak melebihi 10 hektar.
Beliau berkata, Riau yang berhampiran dengan Singapura, kekal lembap berikutan musim hujan disebabkan perubahan iklim menjadikan keadaan cuaca sukar dijangka.
Menurut Pusat Pengkhususan Meteorologi ASEAN (ASMC), berdasarkan imej satelit, taburan tompok panas dikesan di Kalimantan Barat, Sumatera dan Malaysia hujung minggu lalu serta jerebu pada skala sederhana dilihat melitupi kawasan terbabit di Kalimantan Barat.
Cuaca di Indonesia terbahagi kepada dua iaitu musim hujan dan panas dengan musim panas melanda antara Mei hingga September dan hujan antara Oktober hingga April.