SURABAYA: Unit Transfusi Darah Palang Merah Indonesia Surabaya menemukan 514 sampel darah daripada penderma mengandungi penyakit berjangkit termasuk HIV/AIDS.
CNN Indonesia melaporkan, Ketua Perkhidmatan dan Perhubungan Awam unit itu, Wandai Rasotedja berkata, penyakit berjangkit itu dikesan selepas pemeriksaan darah di makmal.
Jelasnya, darah yang diambil daripada setiap penderma itu disimpan dalam beg darah dan tiub bagi tujuan pemeriksaan makmal.
“Pada awalnya, kami melakukan pemeriksaan Jangkitan Menular Melalui Transfusi Darah (IMLTD) terhadap 66,274 sampel darah yang dikumpul sepanjang Januari hingga Jun lalu.
“Hasilnya, 514 sampel darah mengandungi penyakit berjangkit. Secara terperinci, empat penyakit berjangkit ditemukan adalah Hepatitis B dengan 213 sampel, Hepatitis C (139), Sifilis (110) dan HIV (52),” katanya.
Menurut Wandai, sampel darah yang mengandungi penyakit berjangkit itu akan dibuang kerana tidak akan didermakan kepada pesakit yang memerlukan darah.
Katanya, sampel darah itu akan dimusnahkan di tapak pelupusan sisa perubatan.
“Beg darah tercemar itu akan diambil oleh Pegawai Sisa B3 (bahan, berbahaya, beracun) dan kita bekerjasama dengan pihak ketiga untuk dimusnahkan dalam inseminator.
“Apa pun hasilnya, tidak kira sekecil mana mereka tidak boleh keluar menderma walaupun mereka reaktif,” katanya.