YOGYAKARTA: Seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari unit kecemasan sebuah hospital di Wonosari semalam ditemukan mati di dalam longkang di depan hospital tersebut.
Lapor Suara.com, kisah pesakit itu mula heboh diperkatakan selepas mayat berkenaan ditemukan dalam longkang pada pukul 9.45 pagi waktu tempatan.
Mayat pesakit itu ditemukan oleh seorang petugas hospital semalam, iaitu sehari selepas mangsa melarikan diri dari hospital kerana takut menerima rawatan Covid-19.
Terdahulu, aksi pesakit itu yang cuba melarikan diri dari hospital menjadi tular selepas videonya disebarkan dalam media sosial.
Kelihatan beberapa petugas hospital termasuk pengawal keselamatan cuba menenangkan pesakit itu, namun dia tetap melawan.
Sementara itu, pihak hospital memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kes berkenaan.