Lagi warga Filipina maut di Israel akibat perang Iran - Utusan Malaysia

Lagi warga Filipina maut di Israel akibat perang Iran

SATU mayat dikeluarkan pasukan penyelamat di Haifa selepas serangan peluru berpandu Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Perang di Asia Barat telah meragut mangsa kedua dari Filipina di Israel, kata Manila pada Selasa.

Mangsa kedua itu maut apabila sebuah peluru berpandu mengenai rumah seorang wanita Filipina yang menetap di Israel.

Menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, wanita itu terbunuh di bandar pelabuhan Haifa pada Ahad bersama suami warga Israel dan ibu bapa mentuanya yang sudah lanjut usia.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mangsa.

Perkhidmatan penyelamat Israel pada Isnin berkata bahawa mayat empat individu telah ditemukan daripada runtuhan sebuah bangunan kediaman di bandar itu, selepas ia terkena serangan peluru berpandu Iran sehari sebelumnya.

Media Israel mengenal pasti nama pertama mangsa wanita Filipina itu sebagai Lucille-Jean, sambil melaporkan bahawa beliau dan keluarganya dikeluarkan daripada runtuhan kediaman mereka yang roboh selepas operasi menyelamat berlangsung selama beberapa jam.

“Kedutaan Filipina di Tel Aviv telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga mangsa dan sedang memberikan segala bantuan yang diperlukan, termasuk urusan untuk membawa pulang jasadnya secepat mungkin walaupun keadaan perjalanan di rantau itu ketika ini,” kata jabatan tersebut pada Selasa.

Mary Ann Velasquez De Vera, seorang penjaga berusia 32 tahun, menjadi rakyat Filipina pertama yang terkorban dalam perang ini pada 1 Mac ketika beliau cuba mengiringi warga emas yang dijaganya ke tempat perlindungan bom di Israel.

Sekurang-kurangnya dua juta rakyat Filipina yang tinggal di Asia Barat kini terperangkap dalam konflik sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.

Kebanyakannya merupakan pekerja asing dan komuniti pekerja Filipina di luar negara di rantau itu. Mereka menghantar berbilion dolar wang kiriman pulang setiap tahun kepada keluarga masing-masing.

Sementara itu, ribuan kelasi Filipina didapati terperangkap secara efektif di Selat Hormuz, menunggu laluan selamat melalui laluan perkapalan yang kini berbahaya, yang telah disekat secara ketat oleh Iran.

Filipina minggu lalu berkata bahawa Iran telah berjanji untuk membenarkan  laluan yang selamat, tanpa halangan dan segera melalui Selat Hormuz bagi kapal berbendera Filipina walaupun tempoh masa pelaksanaannya masih tidak jelas. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN