Serangan makin dahsyat, 36,000 penduduk Gaza City dipindahkan

Serangan makin dahsyat, 36,000 penduduk Gaza City dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, lebih 36,000 penduduk terpaksa dipindahkan sejak serangan darat lebih intensif tentera rejim di Gaza City bermula dua minggu lalu.

Perkara itu disahkan jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu sidang media sambil memetik data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).

“Orang ramai terus melarikan diri kerana takutkan keselamatan mereka, mencari perlindungan di mana sahaja yang mungkin.

“Antara 14 Ogos, ketika serangan ke atas Gaza City diumumkan, sehingga semalam, rakan pemantau pergerakan penduduk merekodkan lebih 36,200 perpindahan, termasuk lebih 11,600 dari utara ke selatan Semenanjung Gaza,” katanya.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, lebih 2,000 kes perpindahan berlaku antara 24 dan 25 Ogos.

Katanya, majoriti penduduk yang dipindahkan datang dari kawasan kejiranan di Gaza City, dengan lebih dua pertiga berpindah ke Deir al-Balah manakala hampir satu pertiga menuju ke Khan Younis.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pertempuran di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk serangan artileri dan udara Israel, terus memberi kesan buruk yang dahsyat kepada penduduk awam.

“Tentera Israel juga mengeluarkan arahan perpindahan baharu meliputi kira-kira satu kilometer persegi di kawasan kejiranan Ad Daraj dan Ash Sheikh Radwan di Gaza City,” katanya.

Dujarric turut menekankan operasi bantuan kemanusiaan masih dihadkan dengan ketat oleh pihak berkuasa Israel.

“Kelmarin hanya enam daripada 12 misi yang dirancang dan memerlukan penyelarasan dengan pihak berkuasa Israel dapat dilaksanakan.

“Tiga lagi misi dihalang, dua dibatalkan dan satu misi pembaikan jalan di Khan Younis telah ditolak sepenuhnya oleh Israel,” jelasnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN