NASSIRIYA, Iraq: Sekurang-kurangnya 52 orang terkorban dan 22 cedera dalam insiden kebakaran di hospital yang dipercayai berpunca daripada letupan tangki oksigen di selatan Iraq tengah malam tadi.
Ini merupakan kejadian kedua yang berlaku melibatkan kebakaran di hospital dalam tempoh tiga bulan.
Kebakaran itu berlaku di Hospital al-Hussein yang menempatkan sebilangan besar pesakit Covid-19 dan api sudah berjaya dikawal oleh pasukan bomba.
Jurucakap pihak berkuasa tempatan, Haydar al-Zamili berkata, sebanyak 52 mayat ditemukan dan 22 cedera selepas kebakaran memusnahkan wad kuarantin Covid-19.
“Kebanyakan mangsa maut akibat melecur yang teruk dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.
“Wad itu boleh memuatkan kira-kira 70 katil pesakit,’ katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi mengadakan mesyuarat tergempar dengan barisan menteri kanan serta mengarahkan penahanan penagarah kesihatan dan pertahanan di Nassiriya untuk siasatan.
Pengarah hospital berkenaan turut digantung tugas ditahan.
Speaker Parlimen Iraq, Mohamed al-Halbousi dalam Twitter menyifatkan insiden itu sebagai bukti kegagalan melindungi rakyat Iraq dan perlu ditamatkan segera.
Setakat ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti biarpun siasatan awal mendapati ia mungkin disebabkan oleh tangki oksigen yang meletup. – AGENSI










