BAITULMUQADDIS: Israel dan Korea Selatan dilaporkan menandatangani perjanjian persetujuan untuk pertukaran vaksin Covid-19.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Israel akan menghantar kira-kira 700,000 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang menghampiri tarikh luput kepada Korea Selatan pada hujung bulan ini.
Korea Selatan pula akan memberikan jumlah vaksin sama yang sudah ditempah daripada Pfizer kepada Israel pada September dan Oktober depan.
“Ini merupakan perjanjian yang menjanjikan situasi menang-menang antara kedua-dua negara.
“Kami akan memerangi wabak itu secara bersama,” kata Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett dalam kenyataan yang mengumumkan mengenai perjanjian tersebut.
Dilaporkan, Korea Selatan mengagihkan vaksin Covid-19 yang dimilikinya dengan pantas namun negara itu berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan jumlah dos mencukupi pada waktu diperlukan di tengah bekalan terhad di peringkat global khususnya di Asia
Seorang jurucakap dari Kementerian Kesihatan Korea Selatan enggan mengulas mengenai perjanjian itu yang dilaporkan oleh akhbar tempatan Israel, Haaretz. – REUTERS