NEW YORK: Duke of Sussex, Putera Harry menyuarakan hasrat untuk memulihkan hubungan kekeluargaan yang dingin bersama bapanya, Raja Charles III dan kekandanya, Putera William.
Menerusi satu temubual bersama majalah GQ di New York, Putera Harry menyifatkan isu hubungan rumit antara beliau, Putera William dan Raja Charles sebagai satu perkara yang sangat dekat dan sering dialami oleh ramai orang dari sudut pandang sesebuah keluarga.
“Pasti ada perselisihan faham antara adik-beradik, serta keretakan hubungan antara anak dengan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka. Perkara ini kerap dibangkitkan oleh orang ramai yang saya temui, jadi saya faham betapa rapatnya isu ini dengan masyarakat.
“Itu mungkin antara punca mengapa isu ini menarik perhatian ramai. Orang luar mungkin melihat kami dan tertanya-tanya bagaimana kami akan menyelesaikannya. Kemudian mereka merasakan cara kami menyelesaikan krisis ini mungkin dapat membantu mereka menyelesaikan krisis dalam keluarga mereka sendiri.
“Ada pihak yang tidak mahu krisis ini selesai, tetapi saya mahu ia diselesaikan. Dengan pelbagai perkara yang berlaku di dunia ketika ini, perkara paling penting ialah berdamai. Itulah kunci utamanya,” kata beliau.
Apabila ditanya sama ada beliau yakin mampu merawat ‘luka’ berkenaan, Putera Harry optimis perkara itu boleh dicapai.
“Ya, sudah tentu parut itu memang akan kekal selamanya, namun melepaskan kenangan pahit lalu adalah sesuatu yang saya galakkan kepada semua orang.
“Memang sukar untuk melepaskannya jika ada perkara tertentu dari masa lalu yang masih menjejaskan kehidupan seharian anda. Namun bagi saya, drama di dunia mahupun dalam kehidupan orang ramai sudah terlalu banyak untuk kita terus berbalah dalam keluarga,” tambah beliau.
Ekoran kenyataan itu, jurucakap pasangan Sussex kemudiannya memberi pencerahan ulasan Putera Harry tidak bertujuan untuk menyindir Putera William mahupun mana-mana ahli keluarga diraja yang lain, sebaliknya dibuat secara umum.
Temubual yang dijalankan bulan lalu itu disiarkan di laman web GQ ketika kerabat diraja Britain sedang menyambut keberangkatan Sultan Oman ke Istana Windsor bagi lawatan rasmi negara.
Mengulas mengenai keputusan membawa keluarganya kembali ke UK, Putera Harry menjelaskan kepulangan mereka adalah demi peluang perniagaan serta masa depan keluarga.
“Menghantar anak-anak ke sekolah di Britain memberi makna yang amat besar buat saya,” katanya. -AGENSI











