Suami dijel rakam video isteri curang guna robot vakum - Utusan Malaysia

Suami dijel rakam video isteri curang guna robot vakum

GAMBAR fail sebuah mahkamah di Taiwan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Seorang suami di Taiwan dijel lima bulan selepas menggunakan vakum robotik untuk me­rakam secara sembunyi hubungan sulit isteri­nya.

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu sebelum ini memenangi saman sivil.

Namun, kemudian beliau dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda melebihi AS$4,700 (RM18,967) atas kesalahan menceroboh privasi isterinya, lapor South China Morning Post.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2021 dan tinggal bersama ibu bapa suami­nya selain sesekali menginap di rumah percutian milik mereka, menurut laporan media tempatan.

Pada September 2023, lelaki berkenaan me­nemukan sebatang berus gigi yang telah digunakan di rumah percutian itu.

Si suami itu kemudian menyemak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di garaj tempat letak kereta yang menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali memandu menghantar isterinya pulang.

Tiga bulan kemudian, beliau mengaktifkan fungsi vakum robotik di rumah itu secara kawalan jauh menerusi aplikasi di telefon bimbitnya.

Beliau kemudian mendapati isterinya sedang berdua-duaan dengan lelaki lain.

Si suami menggunakan rakaman video itu sebagai bukti untuk mengemukakan saman ke atas isteri dan kekasihnya atas dakwaan melanggar hak perkahwinan dengan menuntut ganti rugi berjumlah AS$68,000 (RM274,445).

Mahkamah mengarahkan pasangan kekasih itu membayar ganti rugi berjumlah AS$17,000 (RM68,609) kepada si suami, sebelum si isteri bertindak mengemukakan saman balas dengan menuduh suaminya me­rakam video peribadi tanpa kebenarannya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×