JAKARTA: Rakyat Papua dibenarkan menuntut kesejahteraan, keadilan dan hak mereka, tetapi tidak boleh menuntut kemerdekaan dari Indonesia.
Menteri Hak Asasi Manusia Indonesia, Natalius Pigai berkata, rakyat Papua bebas menyuarakan aspirasi dan memperjuangkan penyelesaian terhadap isu masyarakat selagi dilakukan menerusi saluran yang sah di sisi undang-undang serta berlandaskan Perlembagaan.
Katanya, apa yang tidak dibenarkan adalah Papua mahu mengisytiharkan kemerdekaan dan mahu berpisah dari Indonesia.
“Tuntutan lain dibenarkan dan tidak menjadi masalah, asalkan diperjuangkan dengan cara yang betul, memperjuangkan kepentingan rakyat dengan perlindungan undang-undang serta berlandaskan asas perundangan yang jelas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Papua Tengah di Nabire, pada petang Isnin.
Menurutnya, tuntutan supaya rakyat Papua menikmati kehidupan yang sejahtera, adil, makmur dan sihat merupakan sebahagian daripada usaha memenuhi amanat Perlembagaan.
Justeru, katanya, rakyat tidak perlu bimbang untuk menyuarakan isu ketidakadilan selagi tuntutan itu mempunyai asas perundangan dan diperjuangkan menerusi mekanisme yang sah.
“Namun, jika anda menuntut rakyat Papua hidup sejahtera, dilayan secara adil dan sihat, anda sebenarnya menjunjung amanat Perlembagaan 1945. Perkara itu perlu diperjuangkan melalui kata-kata dan tindakan. Jangan sekali-kali takut untuk bersuara menentang ketidakadilan,” katanya.
Pigai menggalakkan masyarakat dan anggota legislatif di Papua Tengah supaya mengutamakan advokasi berasaskan bukti dengan mengumpulkan fakta, data, maklumat dan dokumentasi berkaitan isu yang dihadapi masyarakat. – AGENSI











