JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menggesa penduduk di kawasan pesisir Pulau Flores supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas gempa bumi kuat 7.7 magnitud mencetuskan amaran tsunami pada Sabtu.
Pegawai Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata, penduduk di sepanjang pantai utara Flores serta kawasan selatan pulau itu dan pulau-pulau di sekitarnya perlu melakukan pemindahan kendiri dengan segera.
“Kami amat menggesa masyarakat di sepanjang pantai utara Flores dan kawasan selatan, di pulau-pulau selatan serta seluruh wilayah selatan supaya segera berpindah secara kendiri,” katanya kepada stesen televisyen tempatan Kompas TV.
Beliau menggesa penduduk menjauhi kawasan pantai dengan bergerak lebih dua kilometer ke pedalaman atau menuju ke kawasan berbukit yang berketinggian lebih 10 meter.-AFP










