WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memecat dua pegawai terakhir Suruhanjaya Bantuan Pilihan Raya (EAC), agensi persekutuan yang bertanggungjawab memastikan proses pengundian berjalan dengan tepat dan selamat menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November, menurut laporan media AS.
EAC yang bersifat dwipartisan lazimnya diterajui empat pesuruhjaya, namun dua pesuruhjaya yang dicalonkan Parti Republikan meletakkan jawatan awal tahun ini, menurut USA Today.
Akhbar itu melaporkan kedua-dua pesuruhjaya yang dipecat merupakan calon Parti Demokrat dan menerima emel pemecatan pada Khamis.
“Bagi pihak Presiden Donald J. Trump, saya ingin memaklumkan jawatan anda sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Bantuan Pilihan Raya ditamatkan serta-merta,” menurut emel daripada seorang pegawai Rumah Putih kepada salah seorang pesuruhjaya yang dipecat, lapor CNN.
Tindakan itu dikecam pemimpin Demokrat, termasuk Setiausaha Negara Arizona, Adrian Fontes yang menyifatkannya sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ dan ‘berbahaya’.
“Pentadbiran ini terus bertekad mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pegawai pilihan raya di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Senator AS dari Virginia, Mark Warner pula berkata di platform X, pemecatan itu sepatutnya membimbangkan setiap rakyat AS tanpa mengira fahaman politik.
Beliau turut menegaskan, tindakan menyingkirkan semua pesuruhjaya yang masih berkhidmat hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal 2026 merupakan langkah luar biasa yang memerlukan penjelasan segera daripada pentadbiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Brennan Center for Justice, Michael Waldman menyifatkan pemecatan itu sebagai amat membimbangkan memandangkan usaha berterusan Trump untuk campur tangan dalam proses pilihan raya.
Beliau berkata, struktur EAC yang dianggotai empat pesuruhjaya daripada kedua-dua parti politik itu sengaja diwujudkan oleh Kongres bagi memastikan tidak lebih daripada dua ahli datang daripada parti yang sama.
Menurut CNN, EAC ditubuhkan pada 2002 dan bertanggungjawab memperakui peralatan pengundian serta menguruskan ratusan juta dolar dana persekutuan bagi menyokong pelaksanaan pilihan raya.
Trump sebelum ini berselisih faham dengan EAC berhubung perintah eksekutif yang mengarahkan agensi itu mewajibkan bukti kewarganegaraan disertakan bersama borang pendaftaran pengundi, namun sebahagian besar arahan itu disekat oleh mahkamah, lapor CNN.
Untuk meluluskan sebarang tindakan, EAC memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya tiga daripada empat pesuruhjayanya.
Namun, menurut USA Today, proses mengisi kekosongan jawatan itu dijangka mengambil masa beberapa bulan.
Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, presiden berhak menyingkirkan individu yang mungkin tidak benar-benar sehaluan dengan tugas penting memastikan pilihan raya AS kekal selamat dan setiap undi yang sah dikira.-AFP










