Trump ancam serang infrastruktur awam, loji janakuasa Iran

Trump ancam serang infrastruktur awam, loji janakuasa Iran

TANGKAP layar video edaran Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaparkan serangan tentera AS ke atas Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk memperluaskan serangan terhadap infrastruktur awam Iran, termasuk loji janakuasa dan jambatan, sekiranya Teheran tidak bersetuju memeterai satu perjanjian ketika pertikaian mengenai Selat Hormuz terus memuncak.

Kenyataan itu dibuat selepas tentera AS melancarkan serangan malam keempat berturut-turut ke atas Iran dan menguatkuasakan semula sekatan terhadap perkapalan Teheran.

“Minggu hadapan keadaan akan menjadi lebih buruk buat mereka kerana kami akan menyasarkan loji janakuasa. Minggu hadapan juga jambatan-jambatan mereka akan menjadi sasaran.

“Kami akan melumpuhkan semua loji janakuasa mereka. Kami akan memusnahkan semua jambatan mereka, melainkan mereka bersedia untuk kembali ke meja rundingan dan berunding,” kata Trump dalam wawancara dengan penyiar Fox News.

Semalam, Trump menarik balik ancamannya untuk mengenakan caj 20 peratus ke atas semua kapal kargo yang melalui Selat Hormuz ketika Washington meneruskan usaha mematahkan penguasaan Iran ke atas laluan perkapalan strategik itu.

Trump berkata, cadangan mengenakan caj tersebut akan digantikan dengan perjanjian perdagangan dan pelaburan berskala besar bersama negara-negara Teluk.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengancam akan menutup semua laluan eksport lain yang menguntungkan Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya berikutan serangan ke atas negaranya.

“Eksport tenaga serantau sama ada dikongsi oleh semua pihak atau tidak akan dinikmati oleh sesiapa pun,” kata IRGC dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, IRNA pada Rabu.

Penganalisis berkata, Iran memberi isyarat ia mungkin menggunakan sekutunya, kumpulan Houthi di Yemen untuk menutup Selat Bab el-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah, sekali gus membuka satu lagi medan konfrontasi dengan Washington dan meletakkan dua laluan tenaga paling penting dunia dalam keadaan berisiko.

Laluan sempit itu menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden, yang menjadi laluan eksport minyak Arab Saudi serta sebahagian besar perkapalan global.

Seorang pegawai kanan Houthi pada Isnin memberi amaran kumpulan itu bersedia menutup selat berkenaan, tindakan yang menurutnya boleh melonjakkan harga minyak sekiranya Arab Saudi terus melancarkan serangan ke atas Yemen, menurut laporan Press TV.

IRGC turut menegaskan Selat Hormuz akan terus ditutup sehingga apa yang disifatkannya sebagai ‘berakhirnya kejahatan AS’. Sebelum perang tercetus pada Februari, kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas dunia melalui Selat Hormuz setiap hari.

Kerajaan Iran melaporkan 30 orang awam terbunuh akibat serangan AS termasuk tujuh anggota tentera yang maut akibat bedilan ke atas pangkalan tentera di Bampur dengan lebih 260 orang lagi cedera.

Menurutnya, sebahagian serangan AS ke atas Iran dilancarkan dari pangkalan yang terletak di wilayah Jordan.

IRGC mendakwa membakar dan memusnahkan sebuah kemudahan logistik AS di Mina Abdullah, Kuwait, selain mendakwa tentera udaranya menyerang sebuah pangkalan AS di Azraq, Jordan, dengan menyasarkan hangar pesawat. 

Agensi berita negara Kuwait (KUNA) melaporkan kebakaran di sebuah lokasi yang tidak didedahkan berjaya dipadamkan oleh tentera dan Pengawal Kebangsaan selepas lokasi itu didakwa menjadi sasaran serangan Iran. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada insiden itu adalah sama seperti yang didakwa dalam kenyataan IRGC.

IRGC turut menyiarkan sebuah video yang didakwa memaparkan serangan di Mina Abdullah, menunjukkan sebuah dron mengenai sebuah gudang yang ketika itu sudah terbakar.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN