JOHANNESBURG: Kemarahan luar biasa meletus di Afrika Selatan apabila sekumpulan penunjuk perasaan bertindak agresif mendesak penahanan semua golongan imigran di negara tersebut.
Kumpulan perusuh yang bersenjatakan kayu dan pemukul besbol dikesan berarak di sepanjang jalan raya di sini sambil melaungkan slogan ‘tangkap semua warga asing serta-merta jika ternampak’.
Sentimen anti-pendatang dilaporkan melonjak mendadak di seluruh negara sepanjang tujuh bulan lalu dipicu oleh masalah kadar pengangguran meruncing, rekod jurang kekayaan parah dan peningkatan kos sara hidup.
Ribuan penduduk kini menyertai gerakan ‘March and March’ bagi mendesak tindakan tegas diambil terhadap pendatang tanpa izin.
Diketuai oleh Jacinta Ngobese-Zuma, kumpulan penunjuk perasaan itu bertindak berani menceroboh sekolah dan rumah bagi menuntut warga asing mengemukakan dokumen pengenalan diri mereka.
Memetik laporan akhbar The Telegraph, dianggarkan sekitar 50,000 imigran dari beberapa buah negara termasuk Malawi, Zimbabwe dan Mozambique telah dihantar pulang atau diusir keluar sejak gerakan itu mengumumkan tarikh akhir untuk mereka meninggalkan negara berkenaan pada 30 Jun lalu.
Beberapa siri demonstrasi susulan kini dijadualkan bakal berlangsung di bandar-bandar utama di seluruh negara pada setiap hari Khamis.
Berdasarkan data Bank Dunia, hampir 150,000 individu tiba di Afrika Selatan pada 2025 berbanding hampir 615,000 orang pada 2015.
Biarpun menunjukkan penurunan, isu kebanjiran imigran tetap menjadi polemik besar di negara tersebut sehinggakan barisan ahli politik tempatan berikrar untuk menghentikan kemasukan pendatang asing tanpa izin secara besar-besaran.
Faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan sentimen anti-migran ini adalah kadar pengangguran Afrika Selatan yang amat membimbangkan. – AGENSI










