NEW DELHI: Polis New Delhi membawa aktivis Sonam Wangchuk ke hospital secara paksa pada Sabtu berikutan kebimbangan terhadap keadaan kesihatannya selepas beliau menjalani mogok lapar selama 20 hari sebagai bantahan terhadap sistem peperiksaan India.
Wangchuk, 59, telah menjalani puasa sejak 28 Jun bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dalam peperiksaan kemasukan pengajian perubatan.
Beberapa ratus pelajar turut menyertai Wangchuk di sekitar pentas bantahannya di lokasi demonstrasi Jantar Mantar, New Delhi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Bantahan lain turut dianjurkan oleh gerakan dalam talian berunsur satira, Cockroach Janta Party (CJP).
Wangchuk melakukan mogok lapar tersebut di bawah cuaca panas terik dengan hanya bergantung kepada air dan garam.
Susulan aksi ekstrem itu, berat badannya dilaporkan menyusut lebih sembilan kilogram selain terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat.
Ekoran insiden penyingkiran tersebut, pengasas CJP, Abhijeet Dipke kini memulakan mogok lapar tanpa tempoh bagi menggantikan tempat Wangchuk.
Beliau menegaskan bahawa perarakan ke Parlimen akan tetap diteruskan, malah turut mendesak Perdana Menteri, Narendra Modi untuk meletakkan jawatan.
Pasukan keselamatan bertindak menutup tubuh Wangchuk dengan helaian kain cadar sebelum mengangkatnya keluar dari pentas itu.
Beberapa minit kemudian, sebuah ambulans dilihat memecut laju meninggalkan lokasi.
Isteri aktivis terbabit, Gitanjali Angmo menerusi hantaran di platform X mengesahkan bahawa beliau kini berada di Hospital Safdarjung, tempat suaminya dimasukkan untuk rawatan.
“Tiada sebarang ubat atau cecair boleh dimasukkan sama ada melalui mulut atau suntikan intravena (IV) tanpa mendapat keizinan daripada saya, ahli keluarga dan barisan doktor yang telah memantau kesihatannya sepanjang 20 hari lalu,” tulisnya. – AGENSI










