Keiko Fujimori dipilih Presiden Peru berketurunan Jepun - Utusan Malaysia

Keiko Fujimori dipilih Presiden Peru berketurunan Jepun

KEIKO FUJIMORI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA: Keiko Fujimori, berjanji untuk memulihkan keamanan dan harapan selepas menewaskan calon berhaluan kiri, Roberto Sanchez dalam pilihan raya presiden yang berlangsung sengit baru-baru ini.

Menurut keputusan akhir, Fujimori menang dalam pusingan kedua pada 7 Jun lalu dengan majoriti tipis  apabila beliau mendahului Sanchez dengan kurang 50,000 undi daripada lebih 18 juta undi keseluruhan.

Juri Pilihan Raya Kebangsaan Peru dijadualkan mengumumkan keputusan rasmi pada 3 Julai selepas beberapa minggu meneliti undi yang dipertikaikan.

“Setiap kali kita sema­kin hampir memulakan jalan keamanan dan harapan untuk semua rakyat Peru,” tulisnya di platform X selepas diumumkan sebagai pemenang.

Fujimori, 51, yang juga anak kepada bekas presiden Alberto Fujimori, berjaya memenangi jawatan presiden pada percubaan keempatnya.

Kemenangan Fujimori akan menandakan kembalinya keluarganya ke tampuk pemerintahan, lebih dua dekad selepas kejatuhan bapanya.

Beliau  akan menggantikan presiden sementara, Jose Maria Balcazar pada 28 Julai untuk memegang jawatan selama tempoh lima tahun.

Pilihan raya tersebut diada­kan ketika pe­ningkatan jena­yah dan ke­tidakstabilan politik yang berpanjangan, menyaksikan negara  itu bertukar lapan presiden dalam tempoh sedekad.

Dengan peningkatan kegiatan geng peras ugut dan pembunuhan upahan, Fujimori berjanji akan mengambil pendekatan tegas seperti bapanya yang bersifat autoritarian.

Bapanya pernah menerima pujian kerana menumpaskan pemberontak Maois dan menstabilkan inflasi melampau.  Namun, beliau kemudian hidup dalam buangan dan dipenjarakan atas tuduhan rasuah serta jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan atas nama memerangi keganasan. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN